SHANGHAI: Bandar Wuhan yang menjadi pusat penularan dan paling teruk dilanda pandemik Covid-19 kini membuka semula sekolah dan tadika pada Selasa ini.

Mengutip Reuters, sekitar 2,842 institusi pendidikan di seluruh bandar itu membuka semula untuk hampir 1.4 juta pelajarnya ketika semester musim luruh bermula, umum pemerintah tempatan.

Bagaimanapun langkah kecemasan turut diambil dengan mengadakan pembelajaran dalam talian sekiranya tahap risiko kembali berubah. Ia turut menasihatkan semua pelajar supaya sentiasa memakai pelitup muka dan seboleh-bolehnya mengelakkan penggunaan pengangkutan awam.

Sekolah juga diarahkan untuk menyediakan peralatan kawalan jangkitan selain mengadakan latihan sebagai persiapan menghadapi wabak baharu.

Perjumpaan beramai-ramai di sekolah turut dilarang, selain sentiasa menyerahkan laporan harian kepada pihak kesihatan.

Selain itu, guru dan pelajar antarabangsa yang tidak menerima sebarang makluman daripada pihak sekolah, masih tidak dibenarkan kembali ke sekolah itu.

Wuhan yang dikunci lebih daripada dua bulan sejak akhir Januari yang mencatat 3,869 angka korban Covid-19, iaitu daripada 80 peratus jumlah kematian di seluruh China.

Wuhan kembali semula seperti biasa pada April, selepas langkah penguncian ditarik semula dan tiada sebarang penularan jangkitan tempatan baharu dilaporkan sejak 18 Mei lalu.