SIBU: Penduduk rumah panjang di kawasan Dun Dudong menarik nafas lega apabila PDP akan menyalurkan peruntukan untuk menaik taraf rumah panjang mereka.

Presidennya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, sebanyak 202 buah rumah panjang keseluruhannya di kawasan tersebut akan dinaik taraf secepat mungkin.

“Peruntukan ini adalah daripada peruntukan Kerajaan Negeri yang disalurkan terus kepada PDP. “Oleh itu, semua rumah panjang di kawasan Dun Dudong akan menikmati pembangunan ini.

“Wang akan kami salurkan menerusi akaun JKKK masing-masing dan ia hanya digunakan untuk menaik taraf rumah panjang sahaja,” tegasnya.

Tiong berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin PDP Bersama Ahli dan Rakyat anjuran PDP Zon Tengah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Rumah Udin Nasat, Sungai Sengan dekat sini, pada Isnin.

Bagi memastikan projek naik taraf rumah panjang dilaksanakan, tegasnya, pihaknya akan memantau setiap rumah panjang untuk memastikan peruntukan yang disediakan digunakan dengan baiknya.

Ujarnya, projek naik taraf rumah panjang ini adalah berdasarkan permintaan para penduduk dan tuai rumah, sama ada mahu memperbaiki rumah panjang seperti menukar atap baharu, memperbaiki berandah atau ‘ruai’ dan sebagainya asalkan melibatkan kerja-kerja naik taraf rumah panjang untuk keselesaan penduduknya.

“Daripada jumlah 202 buah rumah panjang keseluruhannya, sebanyak 108 buah rumah panjang masih belum mempunyai akaun JKKK. “Kami memohon agar rumah panjang yang belum mempunyai akaun supaya membuka akaun secepat mungkin agar dapat menikmati peruntukan ini.

Peruntukan sudah ada,” katanya yang juga Duta Khas Perdana Menteri Ke Republik Rakyat Cina. Peruntukan itu jelasnya akan disampaikan secara berperingkat-peringkat.

“Contohnya hari ini, kita agihkan cek peruntukan ini kepada 18 buah rumah panjang. Minggu depan, kita agihkan kepada jumlah tertentu dan seterusnya mengikut fasa sehingga semua rumah panjang dapat,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Tiong berpendapat seseorang wakil rakyat harus turun padang untuk berkhidmat dengan rakyat secara dekat. Untuk mememangkan pengundi, jangan leka dengan membeli undi untuk mendapatkan kekuatan politik, tegas Ahli Parlimen Bintulu itu lagi.

Beliau menyifatkan calon dan parti politik yang suka memancing undi dengan wang tunai untuk tujuan ‘membeli undi’ sebelum dan semasa tempoh kempen pilihan raya adalah tidak bertanggungjawab.

“Tetapi selepas pilihan raya, pengundi secara efektif ditinggalkan sendirian dan tidak dipedulikan. Pada masa yang sama, penduduk harus memahami bahawa kita memfokuskan kepada pembangunan jangka panjang dan stabil tanpa mengorbankan prospek lain dengan mengejar keuntungan jangka pendek,” tambah Tiong.

Pada majlis tersebut, Naib Presiden Kanan PDP Kaunselor Teo Boon Siew yang juga merupakan Pengerusi PDP Bahagian Dudong telah mengagihkan cek projek naik taraf rumah panjang kepada 18 buah rumah rumah panjang di kawasan setempat dengan kos keseluruhannya RM2.8 juta bagi fasa pertama. Hadir sama Penghulu Sang Blabut serta Tuai Rumah Udin.