KOTA SAMARAHAN: Jabatan Penerangan tampil dengan inisiatif mengadakan program Info on Wheel (IOW) dan Merdeka di Komuniti (Merdeka @Community) di seluruh negara.

Menurut Pengarah Penerangan Sarawak, Suwadi Guliling, di Sarawak sahaja program IOW telah dirancang untuk diadakan sebanyak 660 program, melibatkan semua 33 daerah di negeri ini, termasuk 93 program Merdeka @ Community melibatkan pemimpin tempatan.

“Program ini bertujuan untuk mewujudkan semangat kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut pada September ini.

“Program ini adalah inisiatif Jabatan Penerangan memandangkan pandemik Covid-19 kita tidak mengadakan program yang melibatkan orang awam dalam jumlah yang ramai.

“Jadi kita ambil inisiatif pendekatan menggunakan IOW dan kita jaga garis panduan yang telah ditetapkan, dan pastinya mesej kemerdekaan sampai kepada msayarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program IOW Merdeka di pasar raya Farley Kota Samarahan di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Sarawak Aziz Abdul Rahman, Pegawai Penerangan Daerah Samarahan Abd Latip Samsudin dan Pengurus Pasaraya Farley Kota Samarahan Eiseng Lau.

Mengenai dua program tersebut katanya ia akan diadakan secara serentak di seluruh negara dan di Sarawak sahaja sehingga kini lebih 590 program IOW telah diadakan.

Jelasnya IOW akan diteruskan sehingga sambutan Hari Malaysia yang bakal diraikan di Sibu.

Tambahnya lagi kemerdekaan yang dikecapi kini merupakan nikmat yang perlu dipertahankan sebagaimana juga ia diinspirasikan daripada rukun negara yang dilancarkan sejak 50 tahun lalu.

“Berdasarkan rukun negara, kita harap masyarakat dapat menjaga perpaduan dan mengukuhkan silaturaihim sehingga bilabila,” katanya.