Dalam dunia moden ini, tanah umpama emas. Harganya boleh menjulang tinggi, mencanak hingga menjadikan orang miskin, bergelar jutawan sekelip mata.

Tidak sedikit penduduk kampung yang berubah status mereka. Jika dahulu mereka kais pagi makan pagi, hidup kini bertukar mewah.

Ada yang goyang kaki dengan duit berkepuk, sambil memikir untuk melabur wang dalam pelbagai bidang, atau dalam istilah perniagaan, menjadikan wang tersebut beranak-pinak.

Seorang bekas budak pejabat di Samarahan antara yang bernasib baik. Beliau menggunakan sisa gaji yang ada dengan membeli tanah dan rumah, sejak 1970-an dan sehingga kini, memiliki ratusan geran tanah.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Tetapi itulah rezeki. Beliau berjaya kerana kecekalan dan keberanian.

Memang dalam urus niaga, pasti ada beberapa kali beliau ditipu, namun pengalaman itu mendewasakan, dan beliau kini dapat menilai niat penjual dengan mudah.

Samarahan dan Serian merupakan antara lubuk emas ini.

Di sini banyak tanah yang pada tahun-tahun 1980-an hanya berharga ribuan ringgit, namun kemudiannya bertukar menjadi ratusan ribu. Semuanya kerana pembangunan yang dibawa kerajaan ke kawasan itu, termasuk pembinaan Kampus Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan beberapa pusat pengajian tinggi yang lain.

Ini belum termasuk pengambilan tanah untuk tujuan penembusan jalan dan sebagainya. Nilainya juga dikatakan sekali lagi mencanak, ketika kerajaan mula menggerakkan usaha membina stesen Aliran Transit Autonomous (ART).

Membeli tanah memerlukan kecekalan, disiplin dan keberanian. Juga perlukan kebijaksanaan.

Kerana itu, kebanyakan usahawan dan kenamaan memilih untuk menambah koleksi tanah yang dimiliki. Melabur untuk hartanah dikenal pasti sebagai pelaburan bijak, dan jarang merugikan.

Ya, nilai tanah tidak akan susut, jika ia bukan berada dalam zon bencana. Malah ada antara pembeli sehingga sanggup melakukan tawaran untuk membeli tanah kubur, kerana kedudukan yang strategik.

Perancangan kerajaan terhadap kawasan tertentu memberi impak dari segi harga dan pemilikan tanah. Beberapa dasawarsa dahulu, banyak pihak berebut-rebut untuk membeli tanah di kawasan Telaga Air hingga Sungai Rayu yang terletak di sempadan Matang-Lundu.

Semuanya gara-gara perancangan kerajaan untuk membina kompleks Kerajaan Persekutuan di Sungai Rayu dan lapangan terbang antarabangsa baharu.

Laluan ke lokasi tersebut telah siap dibina, yang kini dikenali sebagai Jalan FAC, manakala upacara pecah tanah disempurnakan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Malangnya projek itu dibatalkan pada saat akhir.

Pun begitu, tanah-tanah di kawasan yang strategik itu banyak yang telah terjual, termasuk pada harga yang lumayan.

Untuk rekod, kawasan tersebut cukup menarik kerana terletak di kaki Gunung Serapi. Ia juga amat sesuai dibangunkan sebagai rumah kediaman, apatah lagi dengan lingkaran jalan yang telah dibina, termasuk yang terkini Jambatan Rambungan.

Pembukaan bandar-bandar baharu di negeri ini turut membantu melonjakkan pasaran tanah. Di kawasan Satok misalnya, ada tanah yang kurang satu ekar dijual pada harga jutaan ringgit. Dan nilainya semakin meroket tinggi di lokasi strategik.

Berdasarkan iklan-iklan yang dipaparkan dalam media sosial, apartmen baharu di Kuching kini dijual pada harga serendah RM300,000 hingga RM1,700,000 untuk 800 ke 1,200 kaki persegi.

Malah harga untuk rumah pangsa PR1MA pun mencecah RM240,000 seunit. Ini menyebabkan golongan B40 kini hanya bergantung kepada rumah-rumah yang disediakan oleh kerajaan untuk memiliki rumah sendiri.

Jika berdasarkan gaji semasa, nilai gaji RM5,000 kini bukan lagi jaminan untuk memperoleh kelulusan pinjaman bank dengan mudah.

Kerana harga tanah yang semakin berharga, usahlah kita ‘rabun mata’ dengan tawaran yang rendah, terutama bagi mereka yang berada di kawasan luar bandar.

Di luar bandar, selain untuk keperluan komersial, tanah dibeli untuk tujuan pembukaan ladang dan sebagainya.

Apabila kerajaan membina jalan-jalan baharu, terutama di Jalan Pesisir, Laluan Utama Kedua dan Lebuh Raya Pan Borneo, bermakna di kawasan-kawasan yang terlibat akan menikmati pembangunan pesat dalam tempoh sekarang hingga 50 tahun akan datang.

Oleh itu, mereka yang memiliki tanah di jajaran ini berpeluang untuk membangunkan kawasan mereka.

Malah mungkin ada perancangan besar yang dicadangkan di kawasan tersebut, atau mereka sendiri boleh berubah menjadi petani moden.

Dengan adanya pembangunan ini, maka dengan sendirinya nilai tanah-tanah di sini meningkat berkali ganda.

Kerana itu pimpinan negeri terutamanya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berulang kali menasihati rakyat agar jangan gelap mata dengan tawaran singkat oleh para pembeli, setiap kali mereka menyerahkan geran tanah.

Ya, memang ada sindiket yang menunggu di luar pagar setiap kali majlis penyerahan geran tanah kepada pemilik dilakukan. Atas alasan itu jugalah, kerajaan tidak dapat mendedahkan semua perancangan masa depan pembangunan negeri ini kepada seluruh rakyat.

Kerana jika tanah rakyat ini belum ditukarkan dalam bentuk geran, pasti ada yang mengambil kesempatan, membeli pada harga yang rendah dan menunggu kerajaan memberi pampasan yang tinggi sebaik rancangan pembangunan hendak dilaksanakan. Ini di Sarawak.

Bayangkan jika anda berada di Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara, Kalimantan Utara — yang sebelum ini diumumkan menjadi lokasi ibu negara baharu Indonesia.

Pasti ia menjadi lombong emas yang menyebabkan anda tidur di atas tilam berkekabu wang. Dan mereka pasti sukar tidur malam, menunggu rezeki datang bergolek, biarpun laporan mengatakan pembelian tanah di situ semakin sepi dan perlahan, kesan daripada Covid-19.

 

Rudi Affendi Khalik merupakan Ketua Divisyen Berita dan Ehwal Semasa, Sarawak Media Group Sdn Bhd. Beliau merupakan mantan Ketua Pegawai Operasi Suara Sarawak.