SIMUNJAN: Kelab Retro Vespa Kuching meraikan semangat merdeka dengan berkonvoi dari bandar raya Kuching ke Siminjan, ketika menyambut Hari Kebangsaan Isnin lalu.

Rombongan yang membabitkan 18 buah kenderaan itu disambut oleh Adun Simunjan, Awla Dris di Padang Sentral, Simunjan di sini. Program yang agak santai itu, mencuri tumpuan penduduk sekitar.

Walaupun agak ringkas, ekoran kelaziman baharu, namun ia cukup bermakna. Menurut Awla, sambutan kali ini agak berbeza ekoran pandemik Covid-19.

“Walaupun sambutan tahun ini kurang meriah, namun ia tetap bermakna.

“Kita harus bersyukur terhadap apa yang telah kita nikmati selama 63 tahun kebelakangan ini… pelbagai pembangunan telah kita kecapi, terutama di Sarawak,” katanya.

“Semoga sambutan kali ini membawa sinar harapan kepada negara Malaysia dan sentiasa dijauhi segala musibah,” tambah Awla.

“Kekalkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat kita.

Itu yang lebih penting.

“Ini kerana agenda pembangunan yang akan kita bawa akan menjadi lebih mudah ketika rakyat kita bersatu satu padu dan mempunyai ikatan yang teguh antara satu sama lain,” jelas Awla.