SARATOK: Permainan gasing dalam kalangan kanak-kanak terus digalakkan demi memastikan permainan tradisional ini tidak hilang dibawa arus pemodenan dan mampu menjadi fenomena baharu dalam zaman moden.

Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok (MDS) Kaunselor Mohamad Duri berkata, minat anak muda dalam sukan ini harus dipupuk dari awal untuk menyeimbangi permainan di telefon pintar yang semakin banyak.

Menurutnya, usaha pihak Jamaco menganjurkan pertandingan pangkah gasing bawah 15 tahun sesuatu yang harus dipuji.

“Penganjuran Jamaco Merdeka 2020 merupakan satu sejarah apabila buat julung-julung kalinya diadakan pertandingan pangkah gasing bagi kanak-kanak.

Syabas kepada Harjam Jemain.

“Saya melihat sambutan sangat baik dengan penyertaan 48 kanak-kanak.

Usaha ini harus diteruskan pada masa akan datang dalam kita memupuk minat anak muda dari awal.

“Tidak mustahil, Daerah Saratok dan Dun Kalaka khususnya mampu menjadi pelopor permainan gasing yang tersohor suatu hari nanti,” katanya ditanya selepas merasmikan Jamaco Merdeka 2020 di Gelanggang Nau Lijeh, Kampung Tanjung, semalam.

Jelasnya, kerajaan turut membantu menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk kegunaan penduduk sekitar.

“Sukan gasing yang menjadi kegilaan penduduk di Saratok mendapat perhatian Adun Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz yang memperuntukan sebanyak RM20,000 bagi membina gelanggang baharu di Kampung Tanjung Hulu yang telah siap.

“Satu lagi di Kampung Melango Lama juga bernilai sama dan masih dalam proses pembinaan.

“Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap aspirasi anak muda,” ujarnya.

Sementara itu Harjam menambah, Jamaco Merdeka 2020 menggunakan sistem cabut undi untuk menentukan ahli kumpulan.

Katanya, penganjuran edisi pertama ini menyaksikan pemenang membawa pulang medal, hamper insuran perlindungan kemalangan diri menyeluruh sehingga RM11,000 bagi tempoh setahun daripada Agro Bank tajaan Jamaco.