KUCHING: Ideologi GPS berbeza daripada parti-parti yang menganggotai PN kerana ia mengikut model pembangunan sosial Sarawak, kata Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau menambah, GPS bukan sebahagian daripada PN tetapi menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mentadbir Kerajaan Persekutuan.

“Kita mentadbir Sarawak mengikut Perlembagaan apabila agama Islam sebagai agama rasmi tetapi kaum-kaum lain bebas mengamalkan agama masing-masing.

“Malah, agama-agama lain di Sarawak dibantu oleh Kerajaan Negeri melalui penubuhan Unifor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semalam ketika diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak yang memberitahu mengundi GPS sama seperti mengundi Pas ekoran kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Pasir Putih Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kitab Injil di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menegaskan, mengundi GPS tidak sama sekali mengundi Pas.

“Ideologi politik di Semenanjung Malaysia bukan mewakili GPS dan kita mahu memimpin negeri lebih baik daripada PH.

“Kita tidak mahu sebarang projek dibatalkan. Apabila di bawah PN banyak inspirasi Sarawak menjadi kenyataan seperti kes tuntutan SST daripada Petronas,” jelasnya.

Mengulas tentang Pas pula, Wan Junaidi memberitahu, parti itu tidak diterima oleh rakyat Sarawak meskipun kaum Melayu sendiri.

“Pas sudah lama bertapak di Sarawak tetapi tidak mendapat sokongan. “Sekiranya Pas mahu bertanding pada PRN akan datang, kita tidak menghalang tetapi tindakan itu menjejaskan kerjasama di bawah PN,” ujarnya.

Katanya, lebih baik Pas jangan bertanding kerana ia sama seperti Umno yang tidak bertanding pada PRN Sarawak semasa di bawah payung BN.

Tegas Wan Junaidi, keikhlasan antara parti amat penting menjelang PRN Sarawak.

Terdahulu, Wan Junaidi menyaksikan pementeraian MoU bersama-sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg antara SEDC dan UDA Holdings Berhad di sini.