KUCHING: Individu yang ingin melakukan aktiviti pendakian gunung perlu mengambil langkah waspada dan memaklumkan kepada pihak renjer hutan segala maklumat yang diperlukan sebelum meneruskan aktiviti mereka.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau mengambil maklum kebanyakan masyarakat tempatan gemar untuk melakukan aktiviti mendaki gunung terutamanya setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali reda.

“Bagi mengelakkan apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku kepada pendaki gunung, mereka perlu mengambil langkah waspada dan memaklumkan kepada pihak renjer hutan segala maklumat yang diperlukan sebelum meneruskan aktiviti.

“Nasihat saya kepada mereka yang suka mendaki gunung agar memastikan tubuh badan sihat dan berkeupayaan untuk mendaki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan ke tiga tapak warisan iaitu Taman Arkeologi Sungai Jaong, Taman Arkeologi Bongkissam dan Bukit Maras serta Pusat Wallace di Santubong pada Isnin.

Abdul Karim turut mengulas tentang tragedi tiga sekawan yang mendaki Gunung Santubong pada 29 Ogos lalu sehingga meragut nyawa salah seorang daripada mereka.

Jelasnya, pendaki gunung perlu sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dan tidak terlalu mengikut keinginan untuk bersama-sama kawan mendaki gunung tanpa perse-diaan kerana ia amat berbahaya.

Dalam hal berkaitan, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menggalakkan belia di Sarawak terutamanya mereka yang meminati keindahan alam, rimba dan bukit meneroka serta melancong dalam negeri.

Menurut Abdul Karim, selain memberi manfaat kepada kesihatan sendiri, aktiviti seperti itu akan dapat menarik minat belia untuk menghayati keindahan khazanah hutan dan alam semula jadi.

“Di peringkat kementerian, kita memang menggalakkan aktiviti seperti ini dan kami bekerjasama dengan Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) kerana kebanyakan tempat untuk aktiviti mendaki dibawah bidang kuasa mereka.

“Selain itu, kami turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan kemudahan asas kepada pelancong dari dalam dan luar negara seperti tandas, perkhidmatan mendaki gunung untuk memberi panduan kepada mereka dan sebagainya,” ujarnya.

Foto Ghazali Bujang