KUCHING: Kawasan Santubong yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi menyimpan pelbagai khazanah lama berusia lebih 1,000 tahun.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini terbukti dengan penemuan tiga tapak warisan iaitu Taman Arkeologi Sungai Jaong, Taman Arkeologi Bongkissam dan Bukit Maras serta Pusat Wallace.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak menerusi kementeriannya, Jabatan Muzium Sarawak, beberapa agensi berkaitan, wakil rakyat serta penduduk kampung akan berusaha membangunkan Pekan Santubong sebagai pekan arkeologi setelah kemudahan pelancongan dibangunkan di kawasan itu.

“Ketiga-tiga tapak warisan ini mempunyai sejarah dan cerita yang tersendiri dan cukup menarik untuk menjadi destinasi yang wajib dikunjungi.

“Ia juga akan dapat memberi keuntungan kepada penduduk kampung sekitar kawasan Santubong terutama dari segi industri makanan, penginapan serta industri yang berkaitan dengan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan ke ketiga-tiga tapak warisan itu di Santubong, semalam.

Tambahnya, projek untuk ketiga-tiga tapak warisan itu sedang dilaksanakan dengan kos keseluruhan berjumlah RM30 juta termasuk pengambilan tanah.

“Pada masa ini, ia masih dilaksanakan dan berharap ia dapat disiapkan pada suku pertama tahun depan, iaitu pada Februari 2021.

“Kami berharap ia dapat disiapkan mengikut waktu kerana Kampus Muzium Sarawak juga akan siap sepenuhnya pada bulan April tahun depan,” jelasnya.

Katanya, sekiranya siap dalam tempoh yang sama, ia akan menarik minat pelancong kerana Sarawak mempunyai banyak tempat untuk dilawati, terutama setelah penerbangan domestik ke Sarawak dibenarkan semula.

“Ini akan menjadi kawasan yang berpotensi untuk pelancongan,” ujarnya.

Abdul Karim turut berharap tiada kluster baharu timbul di Sarawak bagi melicinkan lagi proses pembangunan dan pembinaan di negeri ini setelah kebanyakan projek termasuk ketiga-tiga tapak warisan itu tertangguh semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Turut hadir ketika lawatan tersebut, Menteri Muda Utiliti yang juga Adun Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Hii Chang Kee.