PENERBITAN buku hari ini, juga dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini agak suram.

Tidak banyak buku diterbitkan sama ada oleh syarikat penerbitan terkemuka, persatuan penulis ataupun secara individu. Ia agak berbeza dengan tempoh mungkin sepuluh tahun lalu.

Ketika itu, syarikat penerbitan berluma-lumba menerbitkan buku, terutama novel popular. Persaingan cukup kuat, dan peluang ini direbut oleh penulis baharu dan tersohor.

Mereka mula berkarya siang dan malam. Ia dilihat sebagai lubuk rezeki – novel popular yang ditulis, diterbit dan dijual mencecah ratusan ribu ringgit. Ada yang sudah kaya, dan mampu membeli rumah banglo hanya dengan satu novel.

Ditambah pula jika karya kreatif itu sesuai untuk dijadikan skrip filem. Maka, penerbit filem mendapat untung, manakala penerbit buku menerima tempahan untuk penerbitan berulang.

Semuanya tidak berlaku lagi hari ini. Sejak meledaknya penggunaan Internet, terutama media sosial iaitu Facebook dan WhatsApp, tumpuan terhadap penerbitan buku agak kurang.

Ada syarikat penerbitan beralih daripada buku secara fizikal kepada buku secara maya. Hanya melayari laman web tertentu, juga dengan bayaran tertentu, masyarakat sudah boleh membaca sesuatu karya.

Ini mungkin antara penyebab utama sebab penerbitan buku semakin kurang. Malah ada syarikat penerbitan buku gulung tikar. Nasib sama dihadapi oleh syarikat akhbar.

Jika berterusan, adakah syor satu judul buku untuk 1,000 penduduk akan tercapai? Syor ini dikemukakan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Meneliti secara mendalam syor ini, bermakna untuk keseluruhan rakyat Malaysia berjumlah 32.7 juta orang, bermakna negara ini memerlukan 32,000 judul buku setahun.

Masih kurang 300 judul buku lagi berbanding sasaran yang dibuat pada Januari 2018, iaitu penerbitan buku tanah air disasar mencapai 31,700 judul setahun menjelang 2020, berbanding hanya 19,713 pada 2017, seiring jumlah rakyat Malaysia sekitar 31.7 juta pada 2018.

Rakyat Malaysia – Foto AFP

Statistik pangkalan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) pada 2018 pula melaporkan di Malaysia, sebanyak 16,903 buku yang telah diserahkan mengikut keperluan Serahan Bahan mengikut negara.

Di peringkat Sarawak pula, hanya 488 judul buku atau 2.88 peratus telah diserahkan.

Membandingkan secara keseluruhan, kesimpulannnya penerbitan buku negara masih rendah walaupun usaha itu dibuat secara berterusan.

Ini tanggungjawab penulis untuk menghasilkan sebanyak mungkin buku dalam pelbagai genre. Jika seorang penulis boleh menyiapkan satu judul novel dalam tempoh tiga hingga empat bulan, bermakna boleh menghasilkan dua atau tiga judul setahun.

Syarikat penerbitan juga harus merebut peluang terutama apabila kerajaan turut menyediakan dana khas kepada pihak yang terlibat dalam industri seni dan kreatif yang berjumlah sekitar RM10 juta.

Seperti dijelaskan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, dana itu perlu dipohon untuk memastikan kelayakan pemohon.

Paling penting, pemohon tidak perlu membayar balik bantuan. Jadi, ambil pen, kertas ataupun komputer, mula menaip cerita untuk diterbitkan.

Ia bukan kerajaan, tetapi untuk tatapan masyarakat. Karya itu adalah hak pembaca.