KUALA LUMPIR:  Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersedia melaksanakan pakej rangsangan ekonomi tambahan dan inisiatif-inisiatif lain untuk membantu rakyat dalam menghadapi kekangan ekonomi sekiranya ada keperluan dan kewangan negara mengizinkan.

Perdana Menteri berkata keprihatinan kepada rakyat adalah prinsip utama yang diberi perhatian oleh beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas menerima mandat sebagai perdana menteri.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengambil berat tentang rakyat tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit. Ini keutamaan saya yang paling penting.

“Apa yang telah saya lakukan dalam tempoh enam bulan lepas adalah berasaskan prinsip ini. Saya bukan sahaja perlu menjaga kesejahteraan rakyat tetapi juga mata pencarian mereka,” katanya ketika berucap sebelum merasmikan penutupan Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN, di sini semalam.

Konvensyen anjuran Pertubuhan Intelektual Negara itu turut dihadiri Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dan Presiden PAS.

Muhyiddin berkata Bantuan Prihatin Nasional, moratorium pinjaman bank, bantuan khas untuk perusahaan kecil dan sederhana, subsidi upah, diskaun bayaran bil elektrik dan inisiatif-inisiatif lain di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan sebelum ini adalah bukti keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

Beliau mengakui ketika kerajaan mengambil langkah tegas menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan, hampir kesemua aktiviti ekonomi terhenti dengan rakyat tidak boleh keluar bekerja dan berniaga seperti biasa, menyebabkan pendapatan mereka terjejas dan kehidupan mereka tergugat.

Katanya sebagai perdana menteri yang bertanggungjawab kepada rakyat, beliau tidak boleh membiarkan perkara itu begitu sahaja.

“Dalam keadaan ini, saya tidak boleh biarkan rakyat merempat dan kelaparan. Saya harus pastikan yang anda semua ada bumbung di atas kepala dan makanan di atas meja.

“Kerana itu saya minta Menteri Kewangan supaya cari duit. Saya tak sampai hati nak beritahu rakyat yang kerajaan tiada duit ketika mereka berada dalam kesusahan. Menteri Kewangan lapor semula kepada saya, ‘Ya Tan Sri, kita ada duit,’. Saya kata, ‘Okey, kita akan gunakan duit itu untuk meringankan beban rakyat,” katanya.

“Wang inilah yang digunakan oleh kerajaan untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat menerusi pakej-pakej rangsangan ekonomi yang kesemuanya bernilai RM295 bilion,” tambah beliau.

Perdana Menteri menegaskan bagi beliau kedudukan bukan satu perkara penting, tetapi bagaimana amanah kepimpinan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dijalankan.

“Dari mula saya menjawat jawatan perdana menteri, saya bertawakal kepada Allah. Bagi saya, kedudukan saya tidaklah penting, tetapi bagaimana saya menjalankan amanah kepimpinan itulah yang paling utama.

“Amanah kepimpinan ini adalah satu ujian buat saya dan saya mesti melakukan perkara yang betul. Saya tidak boleh sekali-kali berkompromi tentang hal prinsip,” katanya.– BERNAMA