SARATOK: Dua akhbar bercetak, Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune mula menemui pembacanya di Kolej Tingkatan Enam Saratok sejak beberapa hari lalu apabila akhbar tempatan tersebut mula dibekalkan ke kolej berkenaan bermula minggu lepas.

Kolej Tingkatan Enam Saratok merupakan antara salah sebuah sekolah menengah yang terpilih bagi pelaksanaan Akhbar Masuk Sekolah (AMS) kelolaan dua akhbar berkenaan selain SMK Kabong; SMK Kalaka Roban; SMK Saratok; SMK Bahasa Malaysia Saratok dan SMK Agama Saratok.

Kolej itu juga merupakan kolej tingkatan enam tunggal di Sarawak yang merupakan kolej perintis ke arah menaik taraf kelas tingkatan enam ke tahap sebaris dengan institusi pendidikan tinggi yang lain.

Terletak di laluan Jalan Lama Saratok-Roban, kolej berkenaan mula beroperasi sejak 28 September 2015.

Pengetua KTES Abang Mansor Abang Abang Sebli ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada penaja program itu yang menyenaraikan kolej tersebut sebagai salah sebuah lokasi persinggahan kedua-dua akhbar itu di negeri ini.

Katanya, program berkenaan memberi peluang kepada pelajar kolej tersebut untuk mendapatkan maklumat dan informasi berguna kepada pelajar.

“Seiring dengan kepesatan teknologi dan ledakan maklumat dalam media sosial, peranan akhbar bercetak tidak boleh dipinggirkan kerana mempunyai aras kesahihan maklumat yang tinggi serta faktanya diyakini.

“Selain itu, akhbar juga boleh membantu menyemai budaya membaca dalam kalangan pelajar serta menambah penguasaan bahasa serta kosa kata,” ujarnya.

Tambahnya lagi, maklumat dalam akhbar juga boleh disimpan sebagai koleksi ataupun rujukan yang boleh dirujuk pada bilabila masa dengan mudah tanpa perlu berdepan dengan sebarang kekangan capaian dalam talian alat komunikasi,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid KTES Awang Abas Awang Lawi pula berpendapat, kemunculan akhbar bercetak hingga ke meja pelajar merupakan alternatif untuk pelajar mengisi masa luang dengan aktiviti berfaedah.

Seterusnya, menambah pengetahuan sedia ada pelajar sama ada tentang perkembangan domestik mahupun pada peringkat global, jelasnya.

“Paparan artikel, berita dan rencana yang pelbagai memberi pilihan kepada pembaca untuk menelaahnya mengikut cita rasa sendiri.

“Sewajarnya program seperti sekarang perlu diteruskan bagi memberi nilai tambah kepada bahan akademik sedia ada pelajar,” jelasnya lagi.