KOTA SAMARAHAN: Seramai 20 suri rumah dipilih menyertai Kursus Pengenalan Reka Bentuk Grafik anjuran Sekolah Perniagaan Unimas (UBS) sejak 17 hingga 28 Ogos lalu.

Unimas dalam satu kenyataan berkata, kursus selama 10 hari itu dibiayai sepenuhnya oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), di bawah Skim Peningkatan dan Aktifkan Semula Bakat Suri Rumah (HEARTS) di kampus universiti berkenaan.

“Objektif skim ini adalah untuk melatih suri rumah yang berbakat mengambil bahagian secara aktif dalam pertumbuhan ekonomi negara serta menyediakan platform kepada suri rumah untuk memperoleh kemahiran baharu.

“Kursus ini memberi manfaat kepada peserta untuk menjana pendapatan isi rumah sejajar dengan latihan yang didedahkan iaitu belajar merancang label dan pelekat produk dari rumah,” jelas kenyataan tersebut semalam.

Peserta melalui sepuluh modul termasuk penyediaan faedah eksklusif kepada suri rumah serta unit pembelajaran yang disesuaikan dengan pengetahuan asas mereka.

Seterusnya meningkatkan kemahiran dalam menggunakan perisian reka bentuk grafik dan alat reka bentuk dalam talian.

Kursus yang dikendalikan oleh Jurulatih HRDF Syharul Nizam Junaini itu juga menyajikan tetamu yang hadir pada majlis penutupan kursus, dengan hasil produk yang direka oleh peserta sepanjang kursus.

Antaranya produk makanan, manik, minyak wangi, pelitup muka, pes makanan, kerongsang, dan rantai kunci.

Orang ramai digalak melayari laman web http://www.business. unimas.my/en/ atau menghubungi 082-222111 atau hantarkan e-mel ke ubs@unimas.my untuk sebarang pertanyaan lanjut.