SEJALI Agro Farm sebagai pembekal ternakan lembu dan kambing di sekitar daerah Kabong menerima permintaan yang tinggi untuk ibadat korban tahun ini.

Meskipun Hari Raya Aidiladha disambut dalam suasana berbeza daripada kelaziman biasa ekoran pandemik Covid-19, namun permintaan untuk lembu dan kambing tidak merosot.

Ironinya, situasi ini cukup menarik tatkala banyak sektor yang merudum. Ini yang dikatakan, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu?

Sejali Agro Farm mula mencipta nama pada 2014, lebih kurang enam tahun lalu.

Ladang ini dioperasikan oleh penternak muda Ewan Asyraf Majid yang memiliki minat mendalam dalam bidang ini. Menariknya, pemuda berusia 27 tahun itu sebenarnya merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri dari Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Katanya, perusahaan ini wujud pada 2014 bermula daripada minat bapanya Majid Amit Zainuddin dalam ternakan kambing.

“Maka setelah tamat pengajian di UMP pada 2016, saya terus menguruskan perniagaan keluarga ini. “Walaupun saya bukan penuntut bidang ternakan, tapi asas pengurusan perniagaan itu ada.

Malah, saya bukan ‘asing’ dalam ternakan kerana minat yang tinggi. “Jadi, tidak hairan setiap kali musim cuti semester saya selalu bekerja di ladang ternakan dekat sekitar Pahang. “Alhamdulillah, saya mendapat sokongan padu daripada bapa dan emak selain isteri tercinta,” katanya.

Namun ujarnya, cabaran pada tahun pertama cukup getir khususnya bagi meneroka pasaran dan membina jaringan dengan pembekal serta penternak lain.

Permintaan Tinggi

Menurutnya, pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya menjadi cabaran terbesar pada tahun ini. “Sepanjang tempoh PKP, kami beroperasi seperti biasa.

Tetapi jualan untuk daging hidup (segar) sedikit berkurang ekoran masyarakat tidak dibenarkan melakukan kenduri. “Namun, produk sejuk beku amat menggalakkan dan terus melonjak.

“Sementara untuk ibadat korban tahun ini juga, kami menerima permintaan yang tinggi.

Malah lebih banyak daripada tahun sebelum ini… saya sangat bersyukur semakin ramai mengenali Sejali Agro Farm,” ujarnya.

Jelasnya, Sejali Agro Farm terletak di Kampung Alit, Kabong.

“Secara dasarnya, Sejali Agro Farm mempunyai misi untuk menjadi pemudah cara kepada umat Islam di Daerah Kabong dan kawasan sekitarnya melaksanakan tuntutan agama seperti ibadah akikah dan korban.

“Sementara visi kami pula menjadi pembekal utama kambing dan lembu di bahagian Betong menjelang 2022,” terangnya sambil menambah Sejali Agro Farm kini mempunyai pasaran sendiri di Kabong, Saratok serta Sarikei dan Sibu.

Fokus Lima Tahun Akan Datang

Ewan dalam pada itu merancang membina taman haiwan atau zoo mini bagi menambah tarikannya sekali gus bakal menggalakkan masyarakat untuk datang melawat sambil mereka belajar mencintai binatang.

“Insya-Allah ini merupakan cita-cita kami dalam tempoh lima tahun ke depan.

“Ini termasuk rancangan mewujudkan Sejali Agro Farm sebagai agro pelancongan yang terkenal di Daerah Kabong yang dilengkapi taman haiwan, kemudahan inap ladang (farmstay) sambil menjadi tempat menuntut ilmu dalam peternakan kambing,” jelasnya.

Sejali Agro Farm menawarkan kambing dan lembu untuk akikah dan korban, susu kambing segar, produk sejuk beku, inap ladang serta kemudahan berkursus dan sembelihan. Mereka memiliki kambing jenis Saanen iaitu baka tenusu, biri-biri dan kambing Katjang (kampung).

Tambahnya, Sejali Agro Farm menyediakan ternakan untuk ibadah pelanggan dalam keadaan yang terbaik, khidmat menyembelih dan melapah secara percuma dan penghantaran.

Ringkasnya, jika pelanggan menggunakan khidmat kami, ia lebih cepat dan mudah. “Saya mengharapkan suatu hari kelak Sejali Agro Farm bertambah maju supaya dapat meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kalaka Saribas Betong, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Bahagian Betong dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Betong yang banyak membantu operasi kami selama ini… tanpa bimbingan, bantuan dan nasihat daripada mereka, kami sukar berkembang sehingga kini,” katanya.

Beliau turut menyarankan generasi muda menceburkan diri dalam apa-apa jua bidang dengan bersungguh-sungguh selain mengelak daripada membuang masa dan tidak lalai.

Pengalaman Berharga

Sejali Agro Farm menawarkan pengalaman baharu kepada orang ramai menginginkan suasana damai, indah dan jauh daripada kesibukan dan hiruk-pikuk kota.

Di sini orang ramai akan merasai indahnya kehidupan di kampung. Anak-anak berpeluang bermain dengan kambing, lembu dan kalau bernasib baik boleh bermain kejar dengan angsa.

Inap ladang di Sejali Agro Farm merupakan kemudahan dua bilik yang memiliki ruang tamu serta keperluan lain seperti televisyen, penyaman udara dan dapur yang dilengkapi peti sejuk serta peralatan memasak selain tempat letak kereta.

Orang ramai juga dapat bersiar-siar ke tempat menarik seperti Santai ZK Pantai Alit (tiga kilometer), Pantai Tanjung Kembang (10 kilometer), pekan Kabong (13 kilometer) dan menikmati mi udang di Nyabor (tiga kilometer).