LIMBANG: Pelbagai pembangunan sudah dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan GPS, jelas Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Menurutnya, masyarakat di Limbang kini sudah mula menikmati pembangunan yang memberikan kemudahan kepada mereka.

“Limpahan pembangunan di Daerah Limbang adalah untuk kesejahteraan rakyat,” katanya pada Program Ziarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Bahagian Limbang di pekarangan Surau Hidayatus Salihin, Kampung Lupak Ranggas.

Katanya, Kerajaan Sarawak di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menyalurkan pelbagai pembangunan ke Daerah Limbang.

Antaranya Tebingan Sungai yang terpanjang di Sarawak, Jambatan Tiga Segi, muzium, Jambatan Limbang Kedua dan tiga jambatan lagi akan dibina yang menghubungkan kampung di pesisir Sungai Limbang.

Jelasnya lagi, jalan yang sedang dibina kini ialah Jalan Ipai/Pendam, Jalan Meritam/ Pengkalan Rejab.

Selepas ini di kampung lain seperti Kampung Merambut, Merajang, Bulantak dan Limpaku Pinang.

Seramai 30 peserta yang terdiri daripada penduduk Kampung Sangkarai, Lupak Ranggas, Gadong, Lubok Pangie, Pendam, Merambut, Merajang, Kelapa Mawar dan Tegarai menerima sumbangan masing-masing.

Penyelia Ukas Bahagian Limbang Rosmaini Mail; Ketua Kaum Kampung Lupak Ranggas Limbang Tangah Mohamad; Penghulu Dulahpi Bakar; Penghulu Ahmad Bini dan Penghulu Jamil Bakar antara yang turut hadir.