BINTULU: Sebanyak 20 premis kedai runcit dan kedai 24 jam yang disyaki terlibat aktiviti perjudian dalam talian di pusat bandar di sini dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Sarawak Energy Berhad (SEB), pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, tindakan pemotongan elektrik itu diambil bagi mengekang aktiviti perjudian di bandar itu.

“Operasi bersepadu itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dengan kerjasama SEB antara jam 10 pagi hingga 1.30 petang Rabu, ujarnya.

Beliau berkata, tindakan pemotongan elektrik itu dibuat dibawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 ke atas premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian.

Sepanjang operasi, katanya, premis terlibat turut gagal mengemukakan sebarang lesen perniagaan runcit yang juga merupakan satu kesalahan di bawah undang- undang dan peraturan Pihak Berkuasa Tempatan.

Tegas Zulkipli lagi, pihak polis komited mengambil tindakan berterusan untuk membendung sebarang bentuk aktiviti perjudian dengan kerjasama semua pihak dan agensi berkaitan.