SARIKEI: Sekolah Menengah (SM) Ming Lik menghasilkan lukisan mural untuk menghargai jasa dan sumbangan Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii terhadap pembangunan sekolah itu.

Majlis perasmian lukisan kreatif itu disempurnakan Huang dalam satu majlis di sini.

Mural dihasilkan oleh guru dan pelajar sekolah berkenaan sebagai tanda terima kasih atas sumbangan wakil rakyat itu.

Dalam pada itu, Huang mengakui sokongan padu warga sekolah menyuntik semangat beliau untuk terus berbakti.

Sejak menjadi wakil rakyat , Huang menyalurkan peruntukan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) khususnya untuk meningkatkan prasarana sekolah di kawasan Dun Repok.

Usaha itu bertujuan memastikan generasi muda di kawasan terbabit menikmati suasana pembelajaran yang lebih selamat dan selesa.

Selain itu, beliau juga banyak menyumbang peralatan persekolahan termasuk pakaian seragam bagi membantu meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan.

“Saya amat mengutamakan pendidikan dan akan terus membantu atas kapasiti sebagai wakil rakyat,” katanya.