SONG: Seramai 18 pemilik tanah dari empat kawasan projek di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) menerima pampasan keseluruhan berjumlah RM280,548.62 di sini, semalam.

Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, bayaran itu merupakan pampasan tanah untuk projek pembinaan jalan raya di Jalan Nanga Makut/ Nanga Engkuah Katbos, Song bagi dua kilometer pertama.

Menurutnya, projek itu melibatkan tanah seluas 16.8786 hektar merangkumi 16 lot tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang akan dibayar secara berperingkatperingkat.

Pakej 1 Jalan Nanga Banjor/ Nanga Makut/Nanga Engkuah terbahagi kepada dua iaitu Projek Jalan Nanga Makut/Nanga Engkuah Katibas Song dan Projek Jalan Nanga Banjor/Nanga Makut Katibas Song iaitu sepanjang 33.8 km.

Projek itu bermula pada Oktober 2019 dan dijangka siap pada Disember 2021, sekali gus akan memberi impak kepada penduduk 20 rumah panjang, tiga sekolah, dua klinik dan dua substesen pertanian.

Alexander berkata lagi, pelaksanaan projek jalan raya itu salah satu usaha Kerajaan Sarawak yang diterajui oleh GPS memberikan kemudahan kepada rakyat.

“Kerajaan Sarawak komited menyediakan kemudahan prasarana kepada rakyat di Sarawak, sekali gus dapat membantu meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan mereka.

“Pembinaan jalan raya ini juga antara usaha Kerajaan Sarawak untuk merancakkan lagi pembangunan dan sosioekonomi di kawasan Kapit dan Ulu Rejang,” katanya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,.

URDA yang diletakkan di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) akan fokus kepada pembangunan di kawasan seluas 38,000 km persegi atau satu pertiga keluasan Sarawak.

Melalui URDA, Kerajaan Sarawak fokus kepada keperluan infrastruktur di Daerah Kapit, Belaga, Bukit Mabong, Song dan Kanowit. Timbalan Pengerusi URDA itu berkata, Kerajaan Sarawak tidak akan berkompromi dengan kualiti pembinaan jalan raya demi memastikan keselamatan dan keselesaan rakyat terjamin.

“Kerajaan Sarawak akan berusaha melaksanakan pembangunan berkualiti bagi kesejahteraan rakyat terutamanya di pedalaman dan luar bandar.

“Ini selari dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai negeri berdaya saing dan maju pada masa hadapan,” katanya lagi.