SARIKEI: Warung milik sepasang suami isteri berhampiran simpang Jalan Karim di sini, memang cukup terkenal dengan pulut panggangnya.

Makanan tradisi yang sinonim dengan gelaran pulut panggang Sapiah ini sememangnya cukup terkenal dan laris.

Pemiliknya, Sapiah Japar memberitahu, pulut panggang yang diusahakan oleh keluarganya sejak 1985 itu dijual sebanyak 300 batang sehari dan permintaannya melonjak terutama pada musim perayaan.

“Kami sekeluarga menjual pulut panggang sejak 1980-an lagi. Ia bermula daripada emak sebelum diturunkan kepada saya.

“Kini jualan panggang ini diteruskan oleh anak saya, Halida Zaidi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, proses membuat pulut panggang menggunakan sekitar 30 kilogram beras itu dilakukan setiap hari bermula jam 4.00 pagi sebelum dijual pada tengah hari keesokan harinya.

Menurutnya, pulut panggang mudah dihasilkan namun keluarganya masih mengekalkan kaedah tradisional dengan memanggangnya menggunakan arang kerana aromanya jauh lebih sedap berbanding cara moden.

Katanya, pelanggan juga menggemari pulut panggang yang masih panas berbanding yang sedia siap.

“Saya bersyukur dengan sambutan baik pelanggan dan sudah pasti menyuntik semangat kami untuk terus mempopularkan makanan tradisi ini.

“Lebih menggembirakan apabila pulut panggang ini bukan sahaja mempunyai penggemar di sekitar Sarikei tetapi turut mendapat tempahan pelanggan luar,” ujarnya lagi.