KOTA SAMARAHAN: Kempen Pelancongan Sia Sitok Sarawak mendapat sambutan memberangsangkan daripada rakyat negeri ini, kata Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu berkata, pelbagai pakej disediakan oleh sektor industri pelancongan untuk memudahkan rakyat negeri ini berkunjung ke tempat peranginan di seluruh Sarawak.

“Kempen ini mendapat sambutan yang cukup baik daripada rakyat Sarawak.

Sebagai contoh, Sarawak River Cruise pada masa ini sememangnya penuh kerana tiket dijual dengan separuh harga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Taklimat Isu Semasa Peringkat Negeri Sarawak 2020 dan Program Merdeka@Komuniti Daerah Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan, semalam.

Abdul Karim menambah, beberapa rakannya di Semenanjung Malaysia turut meminta agar kementeriannya melaksanakan kempen serupa kepada pelancong dari Semenanjung.

“Bagaimanapun, kempen ini hanya untuk rakyat Sarawak.

Tetapi kita akan memperkenalkan program baharu untuk rakyat yang bukan dari Sarawak seperti di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan.

“Mereka akan diberikan diskaun tetapi bukan 50 peratus,” ujarnya.

Terdahulu, Kempen Pelancongan Sia Sitok Sarawak Pakej Intra Negeri dilancarkan bagi memberi manfaat kepada sektor ekonomi dan pelancongan yang terjejas akibat Covid-19 di negeri ini.

Menurut Abdul Karim, Kerajaan Sarawak juga memberikan subsidi kepada pakej yang ditawarkan hanya untuk rakyat Sarawak, sekali gus menyokong industri pelancongan tempatan.