MIRI: Seramai 961 perwakilan dari 17 cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan berkampung di Hotel Meritz, di sini untuk menghadiri Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara yang berlangsung esok.

Cawangan-cawangan terlibat ialah Murum, Jepak, Tanjung Batu, Kemena, Samalaju, Bekenu, Lambir, Piasau, Pujut, Senadin, Marudi, Telang Usan, Mulu, Bukit Kota, Batu Danau, Ba’kelalan dan Bukit Sari.

Menurut Timbalan Ketua Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Khas PBB Sarawak Zon Utara Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, jumlah perwakilan yang hadir adalah mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu tidak lebih daripada 50 peratus dari segi kapasiti penuh.

Justeru, beliau menasihatkan para perwakilan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khususnya penjarakan fizikal yang ditetapkan.

“Kita tekankan SOP demi keselamatan semua,” katanya semasa ditemu bual selepas meninjau persiapan konvensyen di Hotel Meritz di sini, hari ini.

Bertemakan Hak Sarawak Dipertahankan, Pembangunan Diperkasakan, konvensyen sehari ini akan dirasmikan oleh Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Antara topik yang akan dibentangkan ialah berkenaan isu tanah, minyak dan gas serta taklimat pilihan raya.