KUCHING: Sarawak mampu menjadi negeri pengeluar utama makanan jika generasi muda terlibat dalam industri pertanian dengan mengadaptasi sistem Internet Benda (IoT).

Naib Presiden Saberkas Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, pertanian moden terutama menggunakan sistem IoT dapat mengeluarkan hasil yang lebih berkualiti.

Menurutnya, pertanian secara moden merupakan cabang baharu pertanian yang mampu menarik minat generasi muda kerana diusaha menggunakan teknologi terkini.

“Untuk itu, Saberkas akan melibatkan belia di negeri ini dalam setiap program pertanian moden.

“Kita mempunyai ramai graduan.

Mereka mungkin boleh mengubah cita rasa dan terlibat dalam pertanian moden,” katanya selepas melawat Taman Kekal Pengeluaran Makanan Rampangi di sini, semalam.

Lawatan tersebut turut disertai ahli Saberkas dan kepemimpinan Parti PBB Cawangan Pantai Damai.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) dan Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU menjelaskan, usahawan tani di negeri ini juga perlu berani melakukan transformasi dengan melibatkan diri dengan pertanian moden.

“Melalui pertanian tepat, tempoh tuaian tembikai emas mengambil masa sekitar 75 hari.

“Begitu juga dengan tanaman lain seperti daun sup dan ketumbar, tempoh masa menuai adalah sama pada setiap masa.

“Kita mempunyai ramai petani, namun masih mengusahakannya secara konvensional.

Kita mahu mengajak mereka bersama-sama terlibat dengan pertanian moden,” ujarnya.

Menurutnya, Sarawak beruntung kerana Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mempelopori ekonomi digital turut memberi penekanan kepada pertanian moden.

“Kita perlu merebut peluang yang disediakan Kerajaan Negeri kerana pertanian juga mampu menjana pendapatan tinggi jika diusahakan dengan betul,” jelasnya.