KUCHING: Karya kearifan tempatan di Sarawak harus diangkat dan diketengahkan dengan lebih aktif di peringkat kebangsaan.

Pengarah DBP Sarawak Abang Haliman Abang Julai (gambar) berkata, DBP Sarawak perlu mengangkat karya tempatan kerana Sarawak kaya dengan budaya dan bahasa yang boleh diketengahkan di peringkat kebangsaan.

“Terlalu banyak karya dari segi bahasa dan budaya di Sarawak yang boleh kita angkat melalui medium pendidikan dan penerbitan.

“Antara contoh karya yang pernah angkat oleh kita ialah bermukun.

Di DBP, pantun dalam persembahan bermukun itu menjadi keutamaan berbanding gerak tari yang dipersembahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Siri Dialog Bersama Pengarah DBP Sarawak dengan Karyawan Sarawak di Balai Budaya DBP di sini, semalam.

Jelasnya, beberapa manuskrip pantun bermukun telah diterbitkan dalam bahasa Melayu Sarawak dan diterjemahkan ke bahasa Melayu baku supaya seluruh masyarakat di Malaysia memahami isi pantun yang hendak disampaikan.

Haliman memaklumkan, banyak karya lain perlu diangkat seperti diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah iaitu Santubong akan dijadikan pekan sejarah.

“Kita perlu membuat kajian secara khusus supaya keistimewaan Santubong dapat disebarkan dalam bentuk karya, teater dan penceritaan,” ujarnya.

Jelasnya, beliau akan membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam masa terdekat.

“Saya akan memaklumkan kepada Ketua Menteri tentang perancangan yang telah dan bakal dilaksanakan oleh DBP,” katanya.

“Kami akan memberitahu keadaan terkini bahasa di Sarawak dan bertanya pandangan serta strategi beliau kerana DBP perlu sentiasa selari dengan objektif Kerajaan Sarawak,” tambahnya lagi.