KUCHING: Dua lelaki tempatan masing-masing membawa bekalan dadah bernilai RM9,970.00 dan RM1,440.00 gagal meloloskan diri setelah ditahan polis di kawasan sebuah pusat hiburan, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata, kedua-dua suspek berusia 34 dan 53 tahun itu ditangkap menerusi hasil serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sekitar jam 12.20 dan 12.30 tengah malam di lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan awal terhadap mereka(suspek) mendapati modus operandi yang digunakan untuk mengambil bekalan dadah adalah sama iaitu menerusi aplikasi telefon dan membuat pembayaran secara bank-in sebelum mengambil dadah itu di tempat yang diberitahu oleh pengedar.

“Suspek pertama, 53, ditahan bersama 158 biji pil Erimin 5, 76 biji pil Ecstacy dan 15 peket Ketamin manakala suspek kedua membawa 24 biji pil Ecstacy hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua badan suspek.

“Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah jenis Amphetamine,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga 9 September bagi membantu siasatan lanjut.

Dedahnya, kedua-dua suspek bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod polis berkaitan jenayah lampau.

Beliau seterusnya mengesahkan siasatan dan risikan ke atas kes masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti punca dadah diperoleh serta mengesan pengedar-pengedar yang terlibat.

Susulan itu, ujarnya, kes pertama disiasat di bawah Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan Seksyen 12 ADB 1952 manakala kes kedua disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.