LUNDU: Seorang bayi lelaki berusia lingkungan setahun antara enam individu disyaki pendatang asing tanpa izin(PATI) ditemui bersembunyi pada dua buah rumah kebun ladang sawit berhampiran Kampung Kendaie, semalam.

Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am(PGA) SAC Mancha Ata berkata, kesemua suspek didapati menetap pada dua buah rumah berasingan hasil pemeriksaan pasukan sempena Ops Benteng Covid di lokasi sekitar jam 12.30 tengah malam.

Menurutnya, suspek masing-masing berusia lingkungan setahun hingga 40 tahun itu bagaimanapun gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan masuk sah serta tidak mempunyai pengenalan diri ketika ditahan pihaknya di kedua-dua kediaman terbabit.

“Pemeriksaan rumah pertama menemui seorang lelaki dan wanita serta seorang kanak-kanak lelaki manakala tiga lagi lelaki dewasa ditemui pada rumah kebun kedua di lokasi sama.

“Kesemua mereka(PATI) disyaki telah menetap di kebun terbabit selama hampir setengah tahun sebelum diserbu pasukan operasi,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil maklumat risikan turut mendapati warga asing itu disyaki bekerja dengan mencuri hasil ladang sawit di kebun berkenaan untuk dijual.

Susulan itu, katanya, kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Lundu untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959.

TANGKAP… Pemeriksaan rumah pertama menemui seorang lelaki dan wanita serta seorang kanak-kanak lelaki manakala tiga lagi lelaki dewasa ditemui pada rumah kebun kedua