KUCHING: Seorang guru sekolah rendah kebangsaan yang didakwa merogol seorang pelajar dua tahun lepas dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin tempatan dan diminta mendepositkan RM3,000 tunai pada Rabu.

Hakim Mahkamah Khas Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, Jason Juga mengarahkan lelaki berusia 57 tahun itu dibebaskan dengan jaminan setelah mengaku tidak bersalah terhadap kes mengikut Seksyen 14(a) Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 yang sama yang boleh dikenakan hukuman tidak melebihi lima tahun dan sebatan.

Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 6 Oktober depan. Tertuduh didakwa telah melakukan melakukan serangan seksual secara fizikal dengan menyentuh badan mangsa yang ketika itu berusia 10 tahun untuk mendapat khidmat seksual dalam sebuah bilik darjah 4 Bijak di SK Semerah Padi di Petra Jaya pada 2018.

Sementara itu dalam kes berasingan seorang remaja lelaki yang disyaki menyerang secara seksual sepupu perempuannya di bawah umur dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan neneknya sebagai penjamin semalam.

Remaja berusia 12 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Mahkamah menetapkan tarikh meneliti laporan akhlak tertuduh pada 8 Oktober depan.

Remaja itu difahamkan membuat pengakuan bersalah menyerang secara seksual sepupu perempuannya berusia sembilan tahun di sebuah rumah di Chong Lin Park pada November 2018.