PUTRAJAYA: Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan mempertingkat jaringan internet di seluruh negara khususnya di kawasan luar bandar, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata JENDELA kini memasuki fasa mempercepatkan jaringan daripada rangkaian 2G dan 3G kepada 4G, manakala fasa kedua adalah untuk melaksanakan rangkaian 5G.

“Program yang kita panggil JENDELA adalah untuk kita lengkapkan jaringan internet di seluruh negara,” katanya kepada media selepas merasmikan program Tanjak Merdeka, di sini hari ini.

Pada 29 Ogos lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan membangunkan pelan infrastruktur digital dikenali sebagai JENDELA dalam usaha menambah baik komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025).

Pelan itu akan menjadi landasan kepada penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G secara mantap.

Mengulas isu timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin yang dilaporkan tersilap memberi jawapan di Dewan Negara semalam mengenai pelajar Veveonah Mosibin yang memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet, Saifuddin berkata pembetulan mengenai perkara itu akan dibuat pada sidang Dewan Negara.

“Timbalan menteri telah segera mengaku kesilapan dan telah membuat permohonan maaf secara terbuka… beliau akan perbetulkannya di Dewan Negara sekali lagi,” katanya.

Semalam, Zahidi memohon maaf melalui hantaran di Facebook rasminya dan mendakwa mendapat maklumat tidak tepat ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Negara mengenai Veveonah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet.

Zahidi dilaporkan media sebagai berkata hasil siasatan kementerian mendapati Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam, namun Veveonah dalam laporan sebuah portal kemudiannya menafikan kenyataan Zahidi dan mendakwa dia memang mengambil peperiksaan seperti dalam video itu.

Jun lepas, video Veveonah seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan akses internet bagi menjawab peperiksaan dalam talian menjadi tular di media sosial.

— BERNAMA