KUCHING: Khalid Husseine Tuah yang mewakili Bahagian Limbang mempertahankan takhta juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2020 Peringkat Negeri Sarawak di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak, semalam.

Beliau mempertaruhkan puisi Naratif Ogos Seorang Helang, karya Zainal Rashid Ahmad.

Dengan kejayaan itu, Khalid membawa pulang RM1,500 serta hadiah iringan buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.

Menurut Khalid, debaran dan cabaran tahun ini cukup hebat, kerana perlu mengekalkan momentum kejuaraan.

“Debaran jelas terasa ketika berada di belakang pentas bersama-sama rakan seperjuangan, Abdul Gafar Mahdi dan Daud Ahmad.

Mereka pendeklamator yang cukup dikenali di Sarawak.

“Sebagai peserta terakhir, saya amat gementar… malah kerap keluar masuk tandas.

Namun saya telah melakukan yang terbaik, dan akhirnya rezeki memihak kepada saya,” ujar Khalid.

Manakala naib johan, Mohamad Daud Ahmad membawa pulang RM1,200, hadiah iringan buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan.

“Saya bangga dengan kejayaan ini kerana kehadiran keluarga berjaya menaikkan semangat saya.

“Ini bukan titik penamat untuk saya terus mencuba pada masa akan datang.

Saya aktif dalam dunia sastera sejak 2003,” kata Mohamad Daud.

“Saya sudah biasa menjadi pengacara majlis mengetuai rombongan keramaian, dan ini banyak membantu,” kata pekerja Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan anak jati Matu itu.

Beliau turut menyarankan golongan muda untuk menyertai dunia sastera, kerana ia merupakan bidang yang menarik untuk diceburi.

Manakala tempat ketiga menjadi milik Abdul Gafar Mahdi dari Mukah yang mempertaruhkan puisi Citra Jiwa Merdeka karya Abdul Karim Gulam.

Tempat keempat dan kelima masing-masing menjadi milik Halimatus Sa’adiah Yahya (Kuching) dengan puisi Milik Siapakah Tanah Ini karya Mohd Ghazali Taib dan Mohs Aidil Firdaus Mohd Sok (Miri) dengan puisi Memilih Bercinta Dengan Tanah Airku karya Jasni Matlani.

BAGAI HELANG… Khalid Husseine Tuah menyampaikan deklamasi puisi Naratif Ogos Seorang Helang.