MIRI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Miri mengadakan program kesedaran awam larangan pembakaran terbuka dengan melakukan rondaan ke beberapa kawasan di sini, terutamanya kawasan Kuala Baram sejak 21 Ogos lalu.

Pengarah JAS Sarawak, Hamzah Mohamad berkata, sepanjang musim kering mulai 12 Ogos lalu, pegawai JAS Miri meronda setiap hari ke kawasan yang sering terbakar khususnya kawasan tanah gambut.

Menurutnya, matlamat utama program rondaan pencegahan adalah untuk memberikan kesedaran dan menyeru orang awam tidak membuat pembakaran terbuka.

“Pegawai JAS juga menyerahkan risalah kempen larangan pembakaran terbuka kepada orang awam.

Mereka bertemu dengan penduduk yang berkebun, beriadah dan berkelah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau memberitahu, setakat 30 Ogos lalu, sebanyak 10 kempen kesedaran telah diadakan di sekitar Kuala Baram, Eastwood, Batu 1 dan Tudan.

“Program ini akan diteruskan bagi memastikan Miri bebas daripada pembakaran terbuka.

Ini kerana ia mengakibatkan jerebu.

“Walaupun pegawai JAS Cawangan Miri menghadapi kekangan logistik dan sumber tenaga, namun JAS menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama kepada agensi kerajaan dan semua pihak yang terlibat bagi memastikan kualiti udara sentiasa terpelihara dan bebas jerebu,” ujarnya.