KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap  prosedur operasi standard (SOP) berhubung cadangan perjalanan ulang-alik harian bagi pekerja Malaysia dan Singapura akan segera dimuktamadkan.

Perkara itu adalah antara isu yang dibincangkan dalam kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon ke atas Muhyiddin di pejabat perdana menteri di Putrajaya, semalam.

Muhyiddin berkata, perkara itu perlu dimuktamadkan segera seiring usaha bagi meningkatkan ekonomi negara serta golongan pekerja yang terlibat.

“Kami juga menyatakan komitmen untuk memastikan pergerakan orang ramai dan kawalan sempadan terus berjalan lancar tanpa mengabaikan aspek keselamatan kedua-dua negara.

“Kami yakin, langkah ini akan membantu Malaysia dan Singapura memulihkan ekonomi dan interaksi rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 antara kedua-dua negara secara beransur-ansur,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, semalam.

Menurut perdana menteri, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) untuk pergerakan rentas sempadan antara Malaysia-Singapura turut disentuh pada pertemuan itu.

“…kami sependapat bahawa inisiatif yang dilaksanakan bermula 17 Ogos lepas berjalan dengan lancar serta amat berkesan,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua negara perlu terus meningkatkan kerjasama dan berganding bahu untuk mencegah, membendung dan mengawal penyebaran wabak COVID-19.

Muhyiddin berkata pertemuan itu antara lain turut membincangkan mengenai usaha yang boleh dan perlu dilakukan Malaysia dan Singapura dalam memperkukuh kerjasama dua hala menerusi penerokaan bidang baharu seperti sains, teknologi serta inovasi.

Perdana menteri berkata hubungan dua hala Malaysia-Singapura terus berkembang positif walaupun  melalui tempoh mencabar semasa penularan COVID-19 dan beliau percaya, Malaysia dan Singapura mempunyai pengalaman, kebolehan serta kepakaran untuk mengatasi ancaman jangka panjang pandemik tersebut.

Berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Muhyiddin berharap perbincangan di peringkat menteri melibatkan kedua-dua negara dapat diadakan dalam masa terdekat.

“Bagi sesi Pemukiman Pemimpin Tahunan (ALR) ke-10 yang sepatutnya dihoskan oleh Singapura tahun ini, saya meminta agar pegawai kedua-dua negara berbincang dan seterusnya mencadangkan kaedah yang bersesuaian untuk mengadakan sesi ALR itu atau mengemukakan cadangan lain,” katanya.– BERNAMA