BAS sekolah percuma diperkenalkan Kerajaan Sarawak sejak awal Ogos ternyata memberi impak kepada penguramgan beban pengangkutan ke sekolah dalam kalangan pelajar terutama daripada kumpulan B40.

Cetusan idea Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dengan kerjasama Yayasan Sarawak itu kini menjadi realiti sejak 3 Ogos lalu dan memilih Kuching sebagai lokasi perintis program berkenaan.

Ini turut mampu mengelak kesesakan lalu lintas pada waktu puncak malah menjimatkan tenaga ibu bapa yang menggunakan kenderaan sendiri ke sekolah.

Kemudahan ini sedikit banyak memberi keselasaan kepada pelajar terutama yang pergi ke sekolah menguna van tambang persendirian.

Dari bas sekolah hingga kemudahan belajar, pelajar hari ini bertuah kerana semua keselasaan ini mereka peroleh hasil permodenan pendidikan terutananya di kawasan bandar.

Kenangan Bersekolah

Berbanding zaman kami sekolah rendah sekitar awal 1980-an, apabila selepas Subuh sudah berjalan kaki hampir sejam lebih atas jalan becak dikelilingi hutan tebal.

Mungkin suasana ini masih wujud di pedalaman Sarawak masa kini, tetapi ia tidaklah sesukar dahulu. Bukan perkara mudah bagi kanak-kanak tahun satu berjalan dalam kegelapan, di atas laluan kecil yang memuatkan dua motosikal sekali gus tapi apa pilihan yang murid pedalaman seperti kami ada? Dan itulah satu-satu yang ada.

Semua murid yang pernah bersekolah di sekolah pedalaman pernah mengutip kenangan bagaimana bersekolah di sekolah serba daif.

Betapapun, murid masih bertuah kerana kerajaan sekarang bersusah payah menjadikan impian anak-anak pedalaman jadi realiti.

Misalnya mengubah sekolah yang berlantaikan papan menjadi konkrit, lebih kondusif dan moden walaupun terpaksa menunggu lebih lama lagi kerana ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Jika kami boleh menunggu 30 tahun, harapan anak-anak sekarang dapat bersabar menunggu untuk lima tahun lagi. Mimpi ngeri bersekolah di bangunan beratap zink dan berdinding separuh akan usai tidak lama lagi.

Kerajaan Sarawak sudah melangsaikan bayaran RM700 juta daripada RM1 bilion peruntukan melalui perundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek berkenaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM350 juta sudah digunakan untuk melaksanakan projek fasa pertama di Sarawak yang membabitkan projek menaik taraf 41 sekolah.

Sebahagian daripada 41 sekolah itu dalam pembinaan, manakala sebahagian lagi dalam proses perolehan. Kita sama-sama berharap supaya angan-angan anak-anak kita untuk duduk selesa di kelas seperti kawan-kawan di bandar besar akan menjadi kenyataan. Yang kita lakukan sekarang perlu menunggu dan terus menunggu. Laluan kecil berbecak yang kami lalui dahulu kini bertukar jalan dua hala yang kemas diturap.

Kesukaran Hidup Jadi Motivasi

Malah dapat melihat kereta keluar masuk kawasan sekolah. Pemandangan yang cukup sempurna, murid dihantar ke sekolah menggunakan kereta dan hutan dahulu tebal bertukar kepada rumah-rumah mewah dan cantik.

Cuma, satu-satunya pemandangan masih sama ialah bangunan sekolah. Masih berdinding papan separuh, struktur kurang kukuh cuma warna cat yang berbeza setiap tahun.

Mungkin di kawasan pedalaman, keadaan lebih teruk tetapi jangan khuatir, kerana atap zink yang membuat kami kepanasan akan ditukar baharu, dinding separuh yang merintiskan air hujan ke dalam kelas ditukar konkrit, malah kemodenan yang ada di sekolah bandar dinikmati anak-anak pedalaman tidak lama lagi.

Yang harus mereka lakukan sekarang ialah belajar bersungguh-sungguh sementara kerajaan merancang membawa prasarana ke tempat mereka.

Buktikan, tanpa kemewahan juga kita mampu mengecapi kecemerlangan pendidikan dan berjaya masuk universiti. Kesukaran hidup harus dijadi motivasi untuk berjaya dan membentuk masa depan lebih cemerlang.

Kesukaran hidup yang dilalui anak-anak pedalaman bukan sesuatu yang mudah seperti makan sebiji kacang. Dengan kekangan kewangan, keluarga kais pagi makan pagi dan cabaran pendidikan serba kekurangan, rela atau tidak mereka terpaksa ke sekolah untuk keluar daripada kekurangan itu.

Namun percayalah, kita boleh mengubah seluruh masa depan dengan kepayahan dan kesengsaraan masa silam. Ada orang berjaya hari ini hasil daripada kesengsaraan masa lampau. Ia jadi pencetus semangat untuk berjaya.

Kita harus percaya, anak pedalaman pun boleh jadi menteri suatu hari kelak. Semestinya bermula dengan pelajaran cemerlang dan kecekalan hati untuk menjamin masa depan yang sempurna.

Belajar bukan sesuatu yang payah dan anak-anak kita terutamanya yang jauh ketinggalan di luar bandar hanya perlu menyukainya dan sudah pasti kejayaan akan menyusul.