KUCHING: Seorang wanita dari Klang, Selangor yang disyaki terbabit dalam satu kes penipuan membabitkan kehilangan wang sejumlah RM28,700 daripada seorang pengadu tempatan dibebaskan dengan jaminan RM3,000 tunai dengan seorang penjamin pada Rabu.

Majistret Mohd Shukri Mokhtar mengarahkan wanita yang berusia 46 tahun itu dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu sebutan semula kes pada 7 Oktober depan.

Wanita itu didakwa melakukan penipuan dan dituduh mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan. Menurut pengadu yang rugi sekitar RM28,700, dia telah membuat pemeriksaan kesihatan pada 11 Oktober 2014 di sebuah poliklinik kesihatan dan kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak.

Dalam pemeriksaan di poliklinik terdahulu, terdapat kesilapan dan dia bercadang mengambil tindakan mahkamah untuk menyaman organisasi terbabit. Ketika berbuat demikian dia telah didatangi seorang perempuan yang menawarkan khidmat peguam untuk membantunya berbuat demikan.

Peguam berkenaan mendorong mangsa membuat pembayaran ke sebuah akaun CIMB bernombor 7618571279 atas nama tertuduh.

Setelah pembayaran dibuat, pengadu berasa tertipu apabila tidak menerima apa-apa dokumen bagi menyelesaikan perkara yang dihadapinya dan mendorongnya membuat laporan polis.