KUCHING: Seorang penganggur dikenakan hukuman penjara selama enam tahun dan 10 sebatan rotan setelah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memiliki dadah semalam.

Hakim Mahkamah Seksyen mengarahkan lelaki berusia 40 tahun itu dikenakan hukuman itu dan mengarahkan hukuman berkenaan berjalan serentak dari tarikh 24 Julai lalu.

Tertuduh dikenakan satu tahun penjara bagi kesalahan pertama mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Merbahaya, 1952 tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamin seberat 3.28 gram.

Bagi kesalahan kedua, tertuduh dikenakan enam tahun penjara serta 10 sebatan rotan bagi Seksyen 39A(2) Akta yang sama. Tertuduh disyaki memiliki dadah jenis methamphetamin seberat 34.10 gram.

Menurut fakta kes, pada 23 Julai 2019, jam 10.45 malam ketika tertuduh berada di tempat letak kereta Eden Height Kondominium dia telkah didatangi sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah.

Pasukan yang diketuai Inspektor Muhammad Hadi telah memperkenalkan diri masing-masing ketika menahan suspek dan membuat pemeriksaan badan.

Mereka menemui satu paket plastik mengandungi serbuk putih dari poket seluar pendek sebelah kiri suspek.

Penyiasatan terperinci dijalankan dan dari dalam kereta jenis Toyota Camry, polis menemui satu paket plastik mengandungi banyak lagi serbuk putih yang disyaki dadah dan ia dihantar ke Jabatan Kimia untuk diperiksa lanjut.

Pada 17 September 2019, laporan kimia mendapati semua bahan yang diperiksa merupakan dadah jenis methamhetamin.