BETONG: Semua jentera parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di peringkat akar umbi diingatkan terus mendekati rakyat, memperjelaskan perjuangan ikhlas Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Adun Layar Gerald Rentap Jabu berkata, rakyat harus benar-benar faham perjuangan PBB dan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lain.

“Pertama, kita tidak mahu mereka terpengaruh dengan fitnah pihak sebelah yang kini aktif ke hulu ke hilir.

“Kedua, agar apa yang diperjuangkan oleh Abang Johari sampai ke hati sanubari setiap rakyat.

“Justeru, di sinilah peranan jentera parti untuk menyantuni rakyat akar umbi,” katanya kepada Suara Sarawak selepas mempengerusikan mesyuarat lawatan rasmi Ketua Menteri ke Bahagian Betong pada hujung bulan ini.

Jelasnya, serentak itu diadakan mesyuarat penyelarasan jawatankuasa Konvensyen Khas PBB Sarawak bagi Zon Betong.

Konvensyen dijangka berlangsung 26 September dengan penyertaan cawangan PBB dari kawasan Sebuyau, Lingga, Beting Maro, Balai Ringin, Bukit Bengunan, Simanggang, Batang Ai, Engkilili, Saribas, Layar, Bukit Saban, Krian, Kalaka dan Kabong.

Tambah Ketua Pemuda GPS itu, GPS sebagai parti berasaskan Sarawak lebih memahami keunikan negeri ini zaman berzaman.

“Saya yakin GPS cukup berpengalaman menguruskan Sarawak walaupun berhadapan perubahan senario politik.

“Rakyat Sarawak juga semakin matang untuk menilai.

“Yakinlah, hak dan keistimewaan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih diperjuangkan bertujuan mempertahankan pengurusan tanah dan sumber, hutan termasuk minyak dan gas serta kekayaan yang lain,” ujarnya.

“Semoga rakyat Sarawak terus bersatu demi memastikan bumi bertuah ini terus maju selari dengan perubahan angin semasa di alam yang serba canggih ini,” tambahnya.

Turut serta Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr. Richard Rapu, Residen Bahagian Betong Friday Belik dan Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal.