KUCHING: Kastam Sarawak dengan kerjasama IPD Bau merampas minuman keras dianggarkan bernilai RM190,743 termasuk cukai dalam Operasi Khas Ambang Merdeka 2020 di sebuah premis di pekan Bau pada 30 Ogos lalu.

Pengarahnya Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, rampasan melibatkan 7,111.22 liter bir yang dianggarkan bernilai RM75,624 dengan anggaran cukai RM115,119.

“Barangan kes disita dan dibawa ke stor penguatkuasaan Demak Laut untuk simpan selamat dan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menambah, tiga individu yang mengurus pengedaran dan penjualan minuman keras di premis terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, minuman keras itu dijual secara terbuka dan diletakkan bercampur dengan minuman keras yang telah dibayar cukai.

“Pemeriksaan rapi ke atas minuman keras mendapati tiada stem cukai dilekatkan pada minuman keras tersebut.

“Pemilik premis juga cuba mengaburi pihak penguat kuasa dengan menyimpan minuman keras di sebelah premis yang disewa sebagai stor tertutup,” katanya.

Sharifah berkata, minuman keras pelbagai jenama itu merupakan stok yang baharu tiba untuk bekalan dan pasaran sempena meraikan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di pekan Bau.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

Sabit kesalahan akan didenda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Justeru, Sharifah menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam yang berhampiran di seluruh negeri.

“Kami memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya.