ASAJAYA: Projek pembinaan pasar baharu Kampung Tambirat akan dimulakan tidak lama lagi, kata Adun Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, setelah pembinaan pasar baharu itu siap, beliau berharap ia akan menjadi tarikan pengunjung dan sedikit sebanyak menyerupai Pasar Serikin.

“Ia visi kami kerana kawasan ini dekat dan tidak jauh untuk pengunjung datang ke Tambirat dari Kuching.

“Kalau ramai pengunjung datang, ia akan meningkatkan lagi aktiviti ekonomi penduduk Kampung Tambirat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kepolisan Komuniti Daerah Asajaya di Dewan SMK Hajah Laila Taib di sini, semalam.

Tambahnya, tender berkaitan projek tersebut sudah ada termasuk projek pembinaan tebingan Tambirat.

“Tebingan Tambirat akan menjadi tarikan pengunjung terutama sebagai tapak untuk belia berkumpul.

“Saya mahu ia menjadi tempat belia melakukan aktiviti hujung minggu seperti bermain papan luncur, konsert dan sebagainya,” jelasnya yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Mengulas mengenai Expressway Asajaya, antara jalan raya yang diberikan keutamaan oleh Kerajaan Sarawak, beliau berharap lebuh raya itu dapat disiapkan dengan segera.

“Saya ingin ia disiapkan dengan segera selain menaik taraf jalan sedia ada,” katanya yang juga Pengerusi Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan.

Jelasnya lagi, peruntukan projek Pangkalan Feri Beliong sudah ada dan kontraktor juga sudah dikenal pasti.

“Ia akan dibina tidak lama lagi.

Projek ini sepatutnya telah dibina pada hujung tahun lepas tetapi ekoran beberapa masalah termasuk penularan Covid-19, ia sedikit tertangguh.

“Projek ini akan terus dilaksanakan. Sebelum hujung tahun ini, tanjakan akan dibina di tapak projek itu,” ujarnya lagi.