KUCHING: Masyarakat perlu meningkatkan nilai perpaduan antara satu sama lain, sesuai dengan gelaran negeri Sarawak sebagai model perpaduan di negara ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, tanggungjawab itu perlu digalas oleh semua pihak untuk memastikan ia dilaksanakan dengan baik.

“Kita harus bekerja keras untuk memastikan budaya ini terus dipupuk dan dipelihara dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum.

“Untuk itu, kita tidak boleh mendabik dada dan berasa lega dengan pencapaian ini, melainkan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi kita berhubung isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, semalam.

Menurutnya, semua pihak perlu menerima kepelbagaian sedia ada dengan sifat terbuka, bagi mengelakkan timbul sebarang isu yang boleh menjadi punca kepada perpecahan.

Antaranya, berhati-hati dan biasakan diri untuk tidak menyentuh isu sensitif baik dalam pergaulan dan menerusi hantaran di media sosial.

“Yang perlukan kita kekalkan di sini ialah sifat saling hormat-menghormati antara satu sama lain dalam kehidupan seharian kita.

“Untuk itu, peranan dan tanggungjawab ini sewajarnya tidak hanya diletakkan di bahu kerajaan untuk menyemai amalan bersatu padu dalam kalangan masyarakat.

“Kita harus berhati-hati dengan apa-apa yang kita katakan agar tidak menimbulkan ketidakselesaan dan perpecahan antara satu sama lain memandangkan kita terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama,” jelas Fatimah lagi.