MIRI: Seorang pemandu terperangkap di dalam kereta yang dinaikinya selepas terlibat dalam kemalangan di simpang Hospital Miri, Jalan Miri Bypass di sini, semalam.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian sekitar jam 6.32 pagi.

Menurutnya, sembilan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian bersama-sama dua jentera sebaik menerima maklumat.

“Kemalangan melibatkan dua kenderaan jenis Proton Wira dan Proton Saga yang didapati terbalik di dalam parit tepi jalan dan seorang mangsa (pemandu) masih terperangkap di dalam.

“Pasukan bertindak mengeluarkan mangsa dengan memecahkan tingkap bahagian depan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Poh Kiong memberitahu, mangsa berjaya diselamatkan dan hanya mengalami kecederaan pada bahagian leher.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada paramedik ambulans untuk rawatan dan operasi tamat pada jam 6.50 pagi,” ujarnya.