BINTULU: Lapan kru kapal kargo berdepan detik cemas apabila kapal kargo yang dinaiki mereka hampir karam akibat dipukul ribut pada jarak kira-kira 17 batu nautika dari Pelabuhan Bintulu.

Menurut Pemangku Pengarah Zon Maritim, Komander Maritim Effendy Bin Mohamed Fadil, dua aset laut Maritim Malaysia iaitu Kapal Maritim (KM) Jepak dan Bot Kilat 44 dikerah bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat sejurus Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu menerima laporan pada jam 9.59 pagi tadi.

Kesemua lapan kru kapal kargo terbabit berjaya diselamatkan kira-kira jam 11 pagi dengan bantuan bot nelayan tempatan yang kebetulan berada berdekatan lokasi kejadian selain kapal Maritim.

Kesemua kru, katanya, dalam keadaan baik tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Siasatan awal mendapati, kesemua mangsa yang berumur lingkungan 20 sehingga 71 tahun, warga Indonesia tersebut berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan rakit keselamatan (life raft) setelah menyedari kapal kargo tersebut hampir tenggelam akibat dipukul ribut.

Effendy berkata, kesemua kru kapal tersebut akan dirujuk ke pusat kesihatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan saringan Covid-19 bagi mencegah penularan wabak covid-19 dikalangan warga asing sebelum diserahkan kepada pihak yang berwajib untuk tindakan lanjut.

Pihak Maritim Malaysia, Zon Bintulu mengucapkan ribuan terima kasih kepada para komuniti maritim di Bintulu yang terlibat secara langsung dalam usaha menyelamatkan kesemua mangsa hari ini.

Maritim Malaysia Bintulu menggesa komuniti maritim terutamanya di Bintulu supaya mengutamakan keselamatan semasa berada di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254).