PADAWAN: Bagi mencapai hasrat Sarawak menjadi pengeksport makanan utama menjelang 2030, Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM9 juta bagi melaksanakan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di seluruh negeri.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, program itu terus dipergiatkan di kawasan pedalaman menerusi projek pengembangan seperti teknologi penanaman, mengawal makhluk perosak termasuk amalan pertanian baik.

“Kita berharap dengan adanya program ini, ramai petani dapat meningkatkan hasil pendapatan RM4,000 sebulan untuk sekeluarga.

Untuk kawasan Mambong, Jabatan Pertanian mengenal pasti kopi sebagai tanaman utama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Adun Mambong Datuk Dr Jerip Susil pada majlis peramian AgriCOP di Dewan Serbaguna Kampung Taba Sait di sini, semalam.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah menjelaskan, kementeriannya juga memperkenalkan pertanian moden seperti fertigasi berstruktur, hidroponik, akuaponik dan Internet Pelbagai Benda (IoT) melibatkan penggunaan kawasan dan tenaga manusia minimum dan hasil pengeluaran tinggi.

“Petani di Mambong harus mengambil peluang bagi memajukan industri pertanian kerana pasaran sayur-sayuran dan buah-buahan masih belum dapat memenuhi permintaan pasaran.

“Setakat 2019, Sarawak hanya mencapai 41 peratus taraf sara diri untuk sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Oleh itu, saya menggesa petani untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu pemasaran iaitu jualan dalam talian misalnya melalui platform Timogah,” katanya.

Menurut Uggah, Heineken Laluan merupakan pengurus kepada Timogah mendedahkan sepanjang PKP lalu, pihaknya berjaya mencapai lebih RM100,000 perolehan hasil jualan harian dan sekitar lebih 1,500 tempahan diterima dalam tempoh satu bulan termasuk lebih 12,000 barangan terjual.

“Secara purata perolehan kasar Timogah setiap bulan kini melebihi RM100,000. Dari segi pembayaran, syarikat juga memperkenalkan pembayaran secara digital,” jelasnya.

Pada majlis tersebut seramai 200 peserta terdiri daripada penduduk sekitar Mambong hadir mendengar ceramah melibatkan Teknologi Fertasagi Halia, Teknologi Tanaman Kopi dan Teknologi Tanaman Nanas. Jerip turut melakukan penanaman pokok kopi Liberika di perkarangan Dewan Serbaguna Kampung Taba Sait sebagai simbolik perasmian program.

Turut hadir Timbalan Pengarah Petanian Sarawak Gavin Dom.