TATAU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memain peranan penting dalam pentadbiran sesebuah kampung.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri(Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai berkata, JKKK turut menjadi nadi perantara pentadbiran kampung dengan wakil rakyat serta kerajaan dalam usaha membawa pembangunan di kampung.

Selain itu, katanya, JKKK juga harus menjalankan tanggungjawab memajukan kampung dan membawa pembangunan sekali gus membentuk masyarakat hidup dalam suasana harmoni.

“JKKK baik dan aktif perlu membuat perancangan rapi untuk memajukan kampung dengan mewujudkan pelan tindakan pembangunan bagi kampung seliaan masing-masing selain mengadakan mesyuarat enam kali setahun, ujarnya semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Marayang, Nanga Malat, Ulu Anap,di Tatau.

Sikie, yang juga Adun Kakus juga mahu masyarakat sendiri menjalin kerjasama erat dengan JKKK di kawasan kampung masing-masing seterusnya mewujud masyarakat hidup bersatu padu.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan geran projek kecil luar bandar masing-masing RM28,000 dan RM5,000 kepada JKKK dan Biro Wanita Rumah Marayang selain geran peruntukan MRP masing-masing RM29,000 kepada Rumah Kelisop, Rumah Wan(RM15,000), Rumah Anai(RM6,000), Rumah Johny(RM9,000), Rumah Thomas Achun(RM5,000) dan Rumah Nyanau(RM29,000).

John Sikie mengetuai acara miring pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Marayang, Nanga Malat, Ulu Anap, Tatau.