KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut di sini bakal menyaksikan pelbagai projek pembangunan infrastruktur merangkumi perumahan, jambatan baharu serta jalan pesisir pantai.

Menurut Ahli DUN kawasan itu Dr Hazland Abang Hipni, projek perumahan akan dibina di Sejingkat dan Muara Tabuan, melibatkan kawasan seluas 121 hektar dan boleh menampung 680 buah rumah. 

“Petempatan ini adalah untuk mereka yang belum mempunyai rumah dan tidak mempunyai tanah meliputi mereka yang menetap di Kampung Sejingkat, Kampung Goebilt dan Kampung Senari.

“Selain itu, terdapat tiga lagi projek perumahan yang akan dibina bagi menampung pemohon-pemohon perumahan mampu milik iaitu di kawasan Tanjong Bako, Senari dan Bako,” katanya pada program inklusiviti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersama komuniti Kampung Senari, di sini hari ini.

Beliau juga berkata penduduk di Kampung Tanjong Bako akan menikmati kemudahan jambatan baharu bernilai RM200 juta, merentasi sungai ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Sementara itu, Dr Hazland berkata turut akan dibina di Tanjung Bako ialah  perumahan yang dikhususkan untuk nelayan dan penduduk di kawasan ini iaitu Perkampungan Nelayan Tanjong Bako.

“Dalam melengkapkan lagi kemudahan ini, sebatang jalan pesisir pantai sepanjang 8.5 kilometer yang menjadi ‘the missing link’ sekarang akan dibina untuk menghubungkan Bako dan Buntal.

“Selepas Jambatan Bako, akan ada satu lagi jalan yang menuju ke Kampung Buntal dan dengan siapnya Jalan Bako-Buntal ini, maka lengkaplah jalan pesisir dari Telok Melano, Rambungan, Buntal, Bako, Tanjong Bako, Samarahan dan Sebuyau,” katanya.— BERNAMA