Baru-baru ini, Kerajaan Sarawak menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) menyerahkan dana bantuan berjumlah RM38.747 juta kepada 298 wakil badan agama-agama lain.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan peruntukan RM50 juta yang diluluskan Kerajaan Sarawak bagi penambahbaikan dan baik pulih rumah ibadat agamaagama lain di negeri ini bagi tahun 2020.

Walaupun ada kecaman pihak tertentu mengenai pengagihan dana berkenaan, termasuk cadangan membina Kompleks Unifor sebagai membazir wang kerajaan, tetapi dalam konteks negeri Sarawak, perkara itu wajar dilakukan.

Ini kerana lain-lain agama di negeri ini dianggap sama penting seperti Islam baik dari segi fungsi, peranan dan sumbangannya.

Umum mengakui Sarawak satu-satunya negeri yang unik kerana masjid boleh berada di sebelah gereja, Dayak dan Cina boleh duduk semeja dengan Melayu dan Melanau.

Sarawak juga saling menghormati agama, kebudayaan, adat resam serta kepercayaan warganya dan inilah yang menyumbang keutuhan perpaduan kaum.

Menariknya, perpaduan itu wujud sejak sekian lama di sebalik perbezaan, kaum, agama dan kepercayaan serta adat resam.

Justeru, mana-mana pihak yang mempertikaikan dana atau bantuan yang diberikan kepada Unifor itu sebagai pembaziran harus buka mata.

Kerajaan Persekutuan juga mengiktiraf peranan Unifor, malah terbuka hati untuk mengguna pakai kaedah unit itu yang disifatkan sebagai kerangka utama mengekalkan perpaduan dan keharmonian pelbagai agama.

Ia merupakan asas kukuh dan diyakini asas penting dalam meraikan kepelbagaian kaum di negeri ini.

Keharmonian lebih 27 suku kaum di negeri ini menjadikan Sarawak sebagai negeri selamat didiami tanpa wujud kerisauan berlakunya rusuhan kaum dan agama berbanding negara lain.

Keharmonian lebih erat juga memupuk rasa kekitaan. Selain kerajaan, masyarakat sendiri perlu turut memikul peranan ini.

Kesimpulannya, perpaduan pelbagai kaum merupakan elemen penting dan harus diberi perhatian kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat penting bagi negara bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik.

Perpaduan tidak memberi erti jika sekadar lafaz semata-mata.

Perpaduan tidak wujud hanya dengan disuruh-suruh atau sengaja direka-reka. Perpaduan harus diwujudkan atas kepentingan rakyat dan bukan kepada perkara lain yang tidak penting.