KUCHING: KPDNDHEP akan memastikan kebajikan dan keperluan rakyat mencukupi, meskipun negara berhadapan dengan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ia sejajar dengan tanggungjawab kementerian itu menjaga kebajikan pengguna di negara ini.

“Bertepatan dengan pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu, genap sepuluh hari saya menggalas tanggungjawab di kementerian ini.

“Situasi ini agak berat terutama dengan keadaan tidak menentu,” katanya dalam temu bual khas segmen Abas Orang Kamek, semalam.

Menurutnya, semua pihak terkesan dengan pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan bagi memutuskan rantaian penularan Covid19.

Jelasnya, ia termasuk tindakan pengguna melakukan pembelian panik barangan keperluan seperti makanan, pelitup muka dan lainlain.

“Bermula dari situ, beberapa masalah lain telah timbul seperti harga barangan tidak terkawal ekoran permintaan tinggi pengguna.

“Agak sukar menangani masalah ini pada awalnya, memandangkan ia merupakan fenomena baharu yang melanda seluruh dunia.

“Kami bersyukur kerana pegawai kami dapat mengawal situasi ini hingga mampu menangani masalah yang berlaku dengan baik,” ujarnya lagi.

Menurut Nanta lagi, meskipun keadaan ekonomi masih belum stabil sepenuhnya, namun pihaknya akan memantau dan memastikan hak peniaga dan pengguna terjaga.

Beliau berharap semua pihak dapat bekerjasama secara menyeluruh untuk memulihkan ekonomi negara seperti sediakala.