LAPAN bulan sudah dilalui, tinggal empat bulan lagi akan tiba tahun baharu.

Pastinya, sebelum kehadiran 2021, tahun ini (2020) meninggalkan banyak kesan kepada setiap jiwa rakyat Malaysia.

Sudah ada kisah untuk diceritakan kepada anak dan cucu suatu hari kelak – Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Memasuki bulan kesembilan, 2020 menjadi tahun yang penuh cabaran disebabkan munculnya Covid-19, virus yang hingga sekarang masih belum ada vaksin bagi mengatasinya.

Mula menyerang Malaysia seawal Februari, pelbagai perubahan terpaksa ditempuhi demi mematuhi setiap langkah yang ditetapkan bagi membanteras penularan virus berbahaya itu.

Tujuan utama adalah untuk memutuskan rantaian pandemik berkenaan.

Bagi rakyat Malaysia yang perlu melalui PKP sejak Mac lalu, daripada fasa pertama hingga kini – PKP Pemulihan, pasti ada segelintir individu yang sukar menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu sepanjang perintah tersebut.

Bayangkan, kehidupan masyarakat telah banyak berubah – dimestikan duduk diam-diam di rumah.

Tatatertib kita ketika berada di tempat awam juga diperhatikan oleh pihak berkuasa, sama ada mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau sebaliknya.

Peraturan ini menimbulkan kejanggalan bagi mereka yang tidak biasa, lebih-lebih lagi setelah berbulan-bulan duduk di rumah.

Meneliti keempat-empat fasa PKP ini, pasti ada situasi yang memberikan kesan kepada emosi dan tingkah laku jika tidak dikendalikan dengan baik dan secara halus.

Jika tidak berhati-hati, perubahan yang berlaku dalam kehidupan mungkin boleh memberi tekanan kepada individu.

Kesihatan Mental Baru-baru ini, masalah emosi dikenal pasti menjadi isu utama kesihatan mental rakyat terutamanya sejak PKP bermula.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Mei berkata, berdasarkan 8,380 panggilan telefon yang diterima, 46.8 peratus berdepan masalah tersebut.

Selain tekanan perasaan tambah beliau, mereka juga berasa bimbang dan marah disebabkan pelbagai faktor sosial seperti masalah pendapatan dan kewangan serta perselisihan dalam keluarga.

Lebih membimbangkan pada Jun lalu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Mohideen Abdul Kader meluahkan kerisauan tentang masalah mental dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia – kini dikenal pasti sebagai wabak tersembunyi.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 tentang sekitar 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Dalam kehidupan kebiasaan baharu, kanak-kanak atau pelajar perlu menghadapi cabaran berat untuk mengekalkan prestasi akademik dengan sesi pembelajaran yang terhad.

Tidak menghairankan sekiranya jumlah itu semakin bertambah pada masa hadapan.

Penyelesaian Efektif Demi mengelakkan masalah ini menjadi barah peringkat akhir yang tiada penawar, penyelesaian efektif perlu segera dilakukan mulai sekarang.

Memetik Berita Harian Online, 21 Jun lepas, Penaung Befrienders Kuala Lumpur Tan Sri Lee Lam Thye berpendapat, isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diakui dan ditangani dengan betul kerana mereka juga mampu mengalami masalah yang sama seperti orang dewasa.

Jelas beliau, meskipun terdapat perbincangan intensif kesihatan mental sejak beberapa tahun lalu, kebanyakannya fokus kepada kese-jahteraan mental orang dewasa.

Kesimpulannya, penting bagi masyarakat untuk membuang stigma bahawa kesihatan mental ini hanya berkait rapat dengan istilah gila.

Tidak dinafikan bahawa pengetahuan tentang kesihatan mental makin tinggi dalam masyarakat.

Namun, disebabkan masih wujud kelompok kecil yang berpegang kepada stigma sedemikian, ia akan menyukarkan mereka yang sakit untuk berjumpa dengan doktor.

Bagi kanak-kanak pula, ibu bapa perlu celik tentang kesihatan mental agar dapat menanam nilai baik dalam diri anak-anak, seterusnya menjadi sahabat baik kepada anak.

Beri perhatian setiap perkara yang dilakukan mereka termasuk mendengar masalah yang dihadapi.