PADAWAN: Seorang lelaki tempatan didapati menjalankan aktiviti penjualan judi dalam talian ditahan polis hasil serbuan di sebuah premis berhampiran Taman Palma, Batu 8, Jalan Matang, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata, serbuan dijalankan oleh pasukan khas sekitar jam 10 malam berjaya mengesan aktiviti terbabit di premis itu sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap suspek.

Menurutnya, suspek, 29, ketika kejadian ditemui dalam keadaan mencurigakan duduk di kaunter premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati telefon pintar yang ada pada suspek didapati menjalankan aktiviti penjualan judi dalam talian.

“Turut ditemui, wang tunai berjumlah RM180 dan juga sekeping kertas bertulis nombor angka disyaki kata laluan judi dalam talian,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, suspek ketika ditahan turut mengaku bekerja sebagai penjual judi dalam talian di sekitar kawasan tersebut.

Susulan itu, katanya, suspek bersama barangan kes kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Padawan untuk tindakan siasatan lanjut.

Ujarnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.