KUCHING: Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berharap Konvensyen PBB di wilayah utara (Miri) hari ini (5 September) akan meningkatkan semangat ahli parti.

Menurutnya, ahli parti peringkat akar umbi berperanan menyebarkan maklumat mengenai dasar, program dan halhal politik yang berlaku kepada masyarakat.

“Saya harap mereka akan menjadi tonggak untuk menyebarkan maklumat mengenai dasar, program dan hal-hal politik termasuk apa-apa yang terjadi di peringkat nasional dan di Sarawak kepada masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya dalam temu bual khas di pejabatnya di Wisma Sumber Alam pada Khamis.

Konvensyen itu juga katanya, akan meningkatkan kerjasama, perpaduan dan sokongan kepada kepemimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi memperkukuhkan lagi kemajuan negeri ini.

“Dengan ini, pembangunan dan kesejahteraan kita dapat ditingkatkan dan hak serta kepentingan kita dapat dipelihara dan diperjuangkan,” tegasnya.

Mengenai tema konvensyen iaitu Hak Sarawak Diutamakan, Pembangunan Diperkasakan, Awang Tengah yang juga Timbalan Ketua Menteri menjelaskan, ia merangkumi misi Presiden PBB (Abang Johari) untuk membangunkan Sarawak.

Justeru katanya, antara inti pati konvensyen tersebut ialah taklimat pilihan raya untuk petugas pilihan raya parti PBB yang merangkumi aspek pengenalan jentera pilihan raya, struktur dan tadbir urus.

“Selain itu, peranan dan tanggungjawab ejen-ejen parti dalam pilihan raya, undangundang dan peraturan pilihan raya serta ke arah kemenangan pilihan raya.

“Kita juga akan menyampaikan taklimat mengenai pentadbiran tanah di Sarawak dan memastikan hak-hak rakyat terhadap masalah tanah terpelihara. Kertas kerja mengenai industri minyak dan gas Sarawak juga akan dibentangkan,” jelasnya.

Terdahulu jelasnya, parti PBB merancang untuk mengadakan konvensyen khas berskala besar di Kuching merangkumi pemimpin dari seluruh Sarawak.

“Disebabkan pandemik Covid19 dan prosedur operasi standard (SOP), keputusan diambil untuk mengadakan secara zon.

“Konvensyen wilayah utara akan melibatkan perwakilan dari 17 cawangan PBB, merangkumi anggota jawatankuasa PBB termasuk sayap Pemuda dan Wanita, wakil rakyat PBB dan beberapa veteran yang merupakan pengasas parti,” katanya lagi.