KUCHING: Kaum Bidayuh disifatkan sebagai cili padi oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana mempunyai semangat bersatu padu yang kukuh meskipun minoriti di Sarawak.

Menurut Abang Johari, kaum Bidayuh di Sarawak tidak ketinggalan dalam bidang pembangunan sosial, pendidikan dan ekonomi kerana mereka sentiasa ingin meningkatkan taraf hidup ke tahap lebih tinggi.

“Malah, kaum Bidayuh pernah menyandang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri termasuk menerajui Petros.

“Ini membuktikan kaum Bidayuh mempunyai kemahiran bukan sebab dipaksa tetapi mempunyai merit yang membolehkan mereka selayaknya di jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Hostel Komuniti DBNA di Ibu Pejabat DBNA di sini pada Khamis.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS meluluskan geran RM16 juta untuk membina hostel komuniti DBNA yang akan menjadi nyata dalam tempoh dua tahun lagi.

“Akibat perpaduan yang utuh dalam kalangan kaum Bidayuh, DBNA bakal mempunyai kemudahan yang lengkap untuk pembangunan komunitinya.

“Maka, ia akan menjadi simbol dan jenama kepada Bidayuh,” tegasnya sambil menggesa kaum itu jangan sesekali memusnahkannya.

Pada majlis terbabit, Ketua Menteri menyerahkan cek bernilai RM6.75 juta daripada RM16 juta yang diserahkan dalam tempoh enam bulan selepas diluluskan awal Januari lalu.

Bangunan sembilan tingkat itu dibina di kawasan sedia ada berhampiran bangunan dua tingkat yang menempatkan Pejabat DBNA di Jalan Kumpang, Off Jalan Ong Tiang Swee di Kuching.

Ia merangkumi galeri, bilik acara, 98 bilik penginapan yang boleh memuatkan 196 orang dalam satu masa.

Ketua Penasihat DBNA Datuk Seri Micheal Manyin Jawong; Presiden DBNA Datuk Ik Pahon serta wakil rakyat kaum Bidayuh hadir dalam majlis berkenaan.