KUCHING: Sepasang suami isteri dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan setelah mengaku bersalah mendera anak mereka yang masih kecil kerana bermain air.

Majistret Mohd Shukri Mokhtar mengarahkan suami isteri itu yang berusia 25 tahun dihukum setelah mengaku bersalah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dihukum di bawah Seksyen 326A kanun yang sama.

Kedua-duanya mendera anak kandung berusia lima tahun apabila kanak-kanak itu enggan berhenti bermain air di rumah mereka di Jalan Kulas Barat di sini.

Menurut fakta kes, pengadu seorang doktor perempuan di Hospital Umum Sarawak telah menerima pesakit berusia lima tahun di wad kanak-kanak pada jam 3.30 petang 18 Julai lalu dan mendapati mangsa mengalami kecederaan serius akibat didera.

Doktor terbabit mendapati mangsa mengalami calar di dahi, lebam di tepi mata se-belah kiri, luka di belakang kepala dan bengkak di jari manis sebelah kiri.

Ketika ditanya lanjut, kanak-kanak itu memberitahu doktor bahawa kecederaan yang dialaminya berpunca daripada perbuatan ayahnya.

Pengadu terus membuat laporan polis bagi mengambil tindakan terhadap kedua-dua tertuduh.

Susulan itu, tertuduh pertama yang merupakan bapa kandung mangsa yang tidak bekerja telah ditahan polis pada 5 Ogos lalu bersabit kes dera yang dilaporkan pengadu.

Dalam rayuan, kedua-duanya terpaksa mengambil tindakan mencederakan mangsa setelah mangsa enggan berhenti bermain air.