KUCHING: Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin puas hati dengan perkhidmatan bas sekolah percuma termasuk garis panduan yang diamalkan oleh pelajar ketika menggunakannya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan.

Beliau yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah percuma ketika tinjauan di kawasan Sungai Apong ke SK St Andrew, SJK Sungai Apong dan SMK Pending pada pagi Jumaat.

Beliau ditemani Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Buckland Bangik; Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang; Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak Louis Simon Peter dan Penasihat Pengangkutan Kementeriannya Dr. Lawrence Tseu.

Malah, pemandu bas mengalualukan pelajar yang memasuki bas dan menurunkan pelajar dengan selamat di sekolah masingmasing.

Tujuan tinjuan terbabit adalah untuk melihat sendiri operasi perkhidmatan bas sekolah percuma terutamanya di tempat berkumpul di kawasan perumahan Sungai Apong di Pending dan menghantar pelajar ke sekolah masing-masing.

Hasilnya, pemandu bas berkenaan dapat menghantar pelajar tepat pada waktunya ke sekolah sepanjang laluan sama bermula jam 6 pagi dan perjalanan kedua pada jam 6.30 pagi.

Pada masa yang sama, Yayasan Sarawak bersama-sama Kementerian Pengangkutan memantau rapat perkhidmatan bas sekolah percuma semasa beroperasi untuk dipertingkatkan.

Berdasarkan maklum balas pelajar, ramai ibu bapa memuat naik aplikasi Bas Sekolah Percuma bagi memudahkan mereka mengetahui jadual perjalanan bas termasuk laluan.

Berikutan itu, pada 10 September ini, Kementerian Pengangkutan akan mengadakan mesyuarat bersama-sama Yayasan Sarawak, pengetua dan guru besar sekolah yang terlibat dalam Program Bas Sekolah Percuma di Kuching untuk mendapatkan maklum balas dalam usaha mengembangkan perkhidmatan berkenaan.

Selain perkhidmatan bas sekolah percuma dan selamat, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak ingin mendorong lebih ramai ibu bapa untuk menggunakannya bagi anak mereka.

Ia sebahagian daripada strategi Kerajaan Sarawak mengatasi kesesakan lalu lintas di bandar terutamanya pada waktu puncak.

Maka, lebih banyak kenderaan persendirian akan dihadkan di atas jalan raya bagi mengurangkan kesesakan.

Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak dan agensiagensi berkaitan komited untuk memastikan perkhidmatan bas sekolah percuma akan dilaksanakan di bandar-bandar besar di negeri ini.